2 juta belia boleh tuntut kredit e-tunai RM150 mulai 1 Jun ini | DagangNews Skip to main content

2 juta belia boleh tuntut kredit e-tunai RM150 mulai 1 Jun ini

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Mei - Kira-kira 2 juta belia warganegara Malaysia termasuk pelajar sepenuh masa layak untuk menuntut inisiatif kredit e-tunai di bawah program eBelia dengan peruntukan RM300 juta bermula 1 Jun 2021. 

 

Setiap pemohon yang layak boleh menuntut RM150 daripada salah satu penyedia perkhidmatan terlibat, yang akan disertakan dengan insentif tambahan berbentuk pulangan tunai, baucar, mata terkumpul atau coins sepanjang tempoh kempen.

 

Jelas Kementerian Kewangan, eBelia akan ditawarkan melalui empat penyedia perkhidmatan e-tunai iaitu BigPay, Boost, ShopeePay and Touch ‘n Go eWallet, yang secara keseluruhan mempunyai 30 juta pengguna aktif, dan jaringan lebih 1 juta peniaga di dalam dan luar talian. 

 

“Inisiatif eBelia ini dibuka kepada warganegara Malaysia yang (1) mencapai umur 18 ke 20 tahun pada tahun 2021 (lahir pada tahun 2001 hingga 2003); atau

 

“(2) Merupakan pelajar sepenuh masa di peringkat diploma atau SKM4 dan ke atas di institut pengajian tinggi (IPT) tempatan berdaftar.

 

“Data belia akan disemak silang dengan IPT tempatan yang berdaftar dan pangkalan data kerajaan yang berkenaan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan. 

 

Tambah kementerian itu, inisiatif berkenaan bertujuan meringankan beban kewangan selain menggalakkan perbelanjaan secara tanpa tunai dalam kalangan belia serta pelajar sepenuh masa di IPT.

 

Di bawah Belanjawan 2021, sejumlah RM200 juta telah diperuntukkan bagi menyalurkan RM100 kredit e-tunai untuk setiap belia yang layak. 

 

Kerajaan telah menambahbaik inisiatif berkenaan dengan peruntukan tambahan sejumlah RM100 juta di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) yang diumumkan Mac lalu, menjadikan keseluruhan peruntukan bagi program ini sebanyak RM300 juta. 

 

Dengan faedah tambahan berkenaan, setiap penerima layak mendapat nilai kredit berjumlah RM150, berbanding RM100 sebelum ini.

 

Tempoh tuntutan kredit tersebut adalah bermula 1 Jun hingga 22 Julai 2021 dan boleh dibelanjakan sehingga 31 Julai 2021. 

 

“Mereka yang layak digalakkan untuk mengemas kini akaun di aplikasi e-tunai masing-masing atau memuat turun aplikasi e-tunai tersebut sebelum 1 Jun 2021,” tambah Kementerian Kewangan. - DagangNews.com