2 penganalisis naikkan harga sasaran BP Plastics selepas catat keuntungan tinggi | DagangNews Skip to main content

2 penganalisis naikkan harga sasaran BP Plastics selepas catat keuntungan tinggi

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Selepas mencatatkan keuntungan bersih pada suku kedua tahun kewangan 2021 (2QFY21) dan separuh pertama FY21 (1HFY21) lebih tinggi daripada jangkaan, dua firma penyelidikan meningkatkan harga sasaran (TP) BP Plastics Holding Berhad. 

 

Malacca Securities Sdn Bhd dan Kenanga Research, masing-masing meningkatkan TP BP Plastics kepada RM3.06 dan RM3.15. 

 

Penganalisis di Malacca Securities, Loui Low Ley Yee berkata, firmanya kekal optimis terhadap prospek pertumbuhan perolehan BP Plastics yang disokong oleh strategi campuran produknya serta pengembangan kapasiti dengan pengoperasian mesin barisan ke-9 bermula akhir FY21. 

 

Sementara itu, permintaan yang bertambah baik bagi film pembungkusan plastik ekoran pembukaan semula ekonomi akan menyumbang secara positif kepada hasil BP Plastics. 

 

“Susulan prestasi yang lebih kukuh daripada jangkaan, kami meningkatkan unjuran perolehan sebanyak 20.6% kepada RM39.2 juta dan 14.5% kepada RM41 juta, masing-masing bagi FY21 dan FY22 yang mengambil kira permintaan kian meningkat dalam produk BP Plastics serta margin lebih baik daripada produk ditambah nilai,” jelas beliau dalam satu nota kajian.

 

Pada 2QFY21, keuntungan bersih BP Plastics melonjak 74.4% berbanding tempoh sama tahun lalu kepada RM14.8 juta, sekali gus membawa lonjakan ketara sebanyak 66.4% buat keuntungan bersihnya bagi tempoh 1HFY21. 

 

BP Plastics turut mengumumkan dividen interim sebanyak 2 sen dan dividen khas pada kadar 1 sen.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas saham BP Plastics, namun memberi amaran bahawa lonjakan semula kes COVID-19 dan varian Delta berisiko buat penarafan tersebut.

 

Senada itu, Kenanga turut mengekalkan saranan ‘outperform’ ke atas saham BP Plastics yang dilihat mempunyai permintaan pasaran eksport dan tempatan yang kukuh serta pangkalan pelanggan yang lebih besar. 

 

Penganalisisnya, Lim Khai Xhiang berkata, firma itu meningkatkan unjuran keuntungan bersih utama sebanyak 25% kepada RM45.3 juta bagi tahun kewangan semasa yang mengambil kira permintaan produk campuran yang kukuh. 

 

Firma itu juga memperkenalkan unjuran dividen sesaham sebanyak 10 sen, masing-masing bagi FY21 dan FY22 sekali gus mencerminkan kadar hasil 5.3%. - DagangNews.com