2 projek Glomac di Petaling Jaya berjaya dilancar | DagangNews Skip to main content

2 projek Glomac di Petaling Jaya berjaya dilancar

Projek 121 Residences menurut ilustrasi artis
 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Mac - Projek bangunan bertingkat Glomac Berhad di Petaling Jaya berjaya dilancarkan walaupun berdepan cabaran pandemik COVID-19. 

 

Ketua Pegawai Operasi Glomac, Zulkifly Garib berkata, pembinaan projek bangunan tinggi Plaza@Kelana Jaya dan 121 Residences itu berada di landasan yang tepat.

 

Zulkifly Garib
Zulkifly Garib

 

“Malah, dari segi peringkat penyiapan kami telah pun mendahului beberapa hari ke depan untuk kedua-dua bangunan bertingkat tinggi ini,” katanya dalam sebuah kenyataan.

 

Zulkifly mengaitkan prestasi luar biasa itu dengan kerja keras pasukan projek Glomac dan kontraktor rakan perniagaan yang telah bekerjasama dalam mengatasi pelbagai halangan.

 

Terletak di antara Petaling Jaya dan Damansara, pangsapuri servis 121 Residences telah dilancarkan pada Ogos 2019 yang terdiri daripada dua menara 32 tingkat (Menara A, 445 unit dan Menara B, 389 unit) yang bertapak di atas tanah 1.25 hektar (3.1 ekar). 

 

Bangunan tinggi itu menawarkan 834 unit pejabat kecil rumah kecil (SOHO) 450 kaki persegi dan pangsapuri servis 750 kaki persegi bermula daripada RM333,000 dan ke atas. 

 

Jelas Glomac, setakat ini, kadar pengambilan 121 Residences telah mencecah 75% dengan nilai pembangunan kasar (GDV) bernilai RM327 juta.

 

Sementara itu, Plaza@Kelana Jaya, dibangunkan pada 2015, terletak di lokasi strategik sepanjang Lebuhraya Damansara-Puchong, sebuah pembangunan bercampur pegangan bebas berukuran 1.3 hektar (3.2 ekar). 

 

Plaza@kelana
PROJEK Plaza@Kelana Jaya menurut ilustrasi artis

 

Sehingga kini, projek itu telah meraih kadar pengambilan sebanyak 83% dan disasarkan siap pada tahun 2022. 

 

Projek itu merangkumi 696 unit pangsapuri servis dan SOHO, serta 16 unit pejabat kedai tiga tingkat dengan GDV sebanyak RM347 juta dan harga pangsapuri servis itu bermula daripada RM388,000 ke atas. 

 

Kedua-dua pembangunan itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan rekreasi termasuk sistem empat peringkat keselamatan bersama pengawasan Sistem Kamera Pengawasan Tertutup (CCTV) 24 jam, tempat parkir kereta, keselamatan lobi dan akses tingkat individu. - DagangNews.com