2 terminal bas baharu pacu pertumbuhan jangka panjang Perak Transit | DagangNews Skip to main content

2 terminal bas baharu pacu pertumbuhan jangka panjang Perak Transit

Perak Transit Berhad (PTB)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Penubuhan dua buah terminal bas baharu di Perak dilihat menjadi pemacu dalam usaha mengekalkan pertumbuhan jangka panjang syarikat Perak Transit Berhad (PTB).

 

PublicInvest Research berkata, perkara itu turut dinilai kepada prestasi perniagaan semasa yang bertambah maju di samping pertumbuhan jangka pendek kumpulan.

 

"Melihatkan kepada keloggaran sekatan perjalanan serta harapan Malaysia mencapai imunisasi kelompok menjelang akhir tahun ini, kami yakin aktiviti perniagaan akan bertambah maju.

 

"Seiring dengan itu, pertumbuhan jangka pendek kumpulan dijangka dipacu oleh Terminal Kampar yang baharu serta perkhidmatan pengurusan terminal.

 

"Sementara itu, perancangan kumpulan untuk membangunkan dua buah terminal bas di Perak- Bodor Sentral dan Teronoh akan membantu mengekalkan pertumbuhan jangka panjang syarikat," jelas PublicInvest Research.

 

Pembinaan terminal Bodor Sentral akan dimulakan pada tahun kewangan 2021 dan dijangka siap menjelang tahun kewangan 2023, sementara terminal di Teronoh pula akan memulakan pembinaan pada tahun kewangan 2023.

 

Bagi rekod, PTB melaporkan peningkatan untung bersih sebanyak 80.2% pada suku kedua 2021 (2QFY21) kepada RM13.5 juta.

 

Jumlah keuntungan itu dipacu oleh pendapatan sewa dan  yang lebih tinggi serta hasil iklan dan promosi (A&P) yang lebih kukuh.

 

Pendapatan bagi suku berkenaan meningkat kepada RM34.9 juta sekali gus menjadikan keuntungan bersih separuh pertama 2021 meningkat kepada RM26.9 juta.

 

Sementara itu, Kenanga Research memberitahu, pihaknya melihat PTB akan menonjolkan prestasi kurang agresif dalam mendapatkan kontrak tambahan Terminal Management Services pada tahun kewangan 2021.

 

Ia susulan daripada sekatan perjalanan yang berterusan serta penurunan kehadiran orang ramai yang akhirnya memberi kesan kepada pelaburan yang kurang menarik.

 

"Oleh kerana kontrak baharu pada FY21 akan mula menyumbang pada FY22, kami menurunkan jangkaan margin keuntungan bersih (CNP) bagi tahun kewangan 2022 sebanyak 2%," ujar Kenanga Research.

 

Kenanga Research mengekalkan saranan 'outperform' terhadap PTB dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM1.15. - DagangNews.com