200 unit EV smart #1 didaftar sejak dilancar dalam tempoh kurang dua bulan | DagangNews Skip to main content

200 unit EV smart #1 didaftar sejak dilancar dalam tempoh kurang dua bulan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 17 Jan - Dalam tempoh kurang daripada dua bulan sejak pelancaran pada 21 November 2023, smart Malaysia mencatatkan kejayaan luar biasa sebanyak 200 unit pendaftaran untuk smart #1. 

 

smart Malaysia berkata, maklum balas daripada pengguna adalah amat positif, yang mana mempunyai teknologi canggih dalam kenderaan, ekosistem teruji, kemudahan pembelian, serta reka bentuk menarik, dan hadir dalam pelbagai warna memukau. 

 

Katanya, smart #1 menonjol di pasaran dengan sentuhan unik dari Mercedes dan teknologi canggih dari Geely.

 

"Dengan permulaan tahun baharu, smart Malaysia teruja mengumumkan penambahbaikan kepada aplikasi Hello Smart, memberikan pengguna pengalaman pemilikan yang lebih lancar dan mudah. 

 

"Aplikasi yang dikemas kini sekarang memudahkan pembayaran dengan kad debit atau kredit, membolehkan pemilik membayar dan mengecaj kenderaan mereka, atau membeli data internet dalam kereta secara langsung melalui aplikasi. 

 

"Harga data internet adalah pada 1 gigabait (GB) untuk RM8, 3GB untuk RM21, dan 5GB untuk RM30," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, keistimewaan utama dalam aplikasi Hello smart ialah peta pengecasan terintegrasi, memberikan akses kepada 70% stesen pengecasan awam di seluruh negara. 

 

 

smart

 

 

Katanya, ia tidak hanya mengurangkan kebimbangan pemilik kenderaan elektrik (EV) mengenai jarak, tetapi juga menjadikan perancangan perjalanan semakin mudah dengan stesen pengecas yang tersedia sepanjang laluan. 

 

Selain itu katanya, aplikasi ini juga memudahkan proses permohonan pinjaman, menetapkan piawai baharu untuk pemilikan EV yang lebih mudah diakses. 

 

"Untuk menikmati ciri-ciri unik ini, muat turun aplikasi Hello smart di Apple App Store, Google Play Store, atau Huawei App Gallery untuk mengalami ciri-ciri yang dipertingkatkan ini secara langsung," katanya.

 

 

smart

 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif smart Malaysia, Zhang Qiang berkata, dengan pelancaran aplikasi Hello smart yang dinaik taraf itu, beliau teruja untuk berkongsi bagaimana ia boleh mengubah perjalanan semasa perayaan. 

 

"Aplikasi ini berfungsi sebagai teman perjalanan peribadi pengguna, menyediakan lebih daripada 70% informasi hentian pengecasan awam dan ia memperkenalkan pengalaman pembayaran yang lancar dengan kad kredit atau debit mereka. 

 

"Peningkatan ini mencerminkan dedikasi kami untuk memberikan pengguna pengalaman perjalanan luar biasa," katanya.

 

smart Malaysia berkata, pihaknya memperkenalkan peluang eksklusif kepada semua peminat untuk mengalami keseronokan memandu smart #1 dengan memenuhi impian perjalanan mereka melalui percutian yang ditanggung sepenuhnya. 

 

 

smart

 

 

"Sertai peraduan media sosial 'The Long Drive' dan anda mungkin berpeluang menjadi pemenang bertuah yang akan ke Melaka dengan segala perbelanjaan ditanggung sepenuhnya. 

 

"Selain itu, nikmati pengalaman pemanduan yang tidak boleh dilupakan bersama smart #1, serta peluang memenangi hadiah menarik lain, termasuk e-dompet TnG bernilai sehingga RM200 dan paket Angpao smart edisi terhad," katanya.

 

Katanya, orang ramai hanya perlu berkongsi destinasi tempatan impian secara kreatif di bahagian komen peraduan Facebook atau Instagram The Long Drive, dan berpeluang memenangi bukan sahaja hadiah hebat tetapi juga pengalaman perjalanan yang tidak akan dilupakan. - DagangNews.com