2019: Petaling catat populasi dan pendapatan isi rumah kasar bulanan tertinggi | DagangNews Skip to main content

2019: Petaling catat populasi dan pendapatan isi rumah kasar bulanan tertinggi


Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Daerah Petaling mempunyai penduduk paling ramai dan pendapatan isi rumah kasar bulanan penengah tertinggi di Malaysia, menurut laporan My Local Stats 2019.

Daerah Petaling mencatatkan populasi tertinggi iaitu 2.19 juta diikuti oleh Johor Bahru (1.6 juta) dan Ulu Langat (1.39 juta).

Selain mempunyai populasi besar, daerah itu juga mencatatkan pendapatan isi rumah kasar bulanan penengah tertinggi iaitu RM8,993 diikuti oleh Sepang (RM8,937) dan Gombak (RM8,501).

Penerbitan My Local Stats memuatkan statistik sosioekonomi utama di peringkat daerah pentadbiran bagi siri masa 2017 hingga 2019.

Penemuan menerusi laporan My Local Stats oleh Jabatan Perangkaan Malaysia itu amat diperlukan bagi membolehkan kerajaan membuat perancangan hingga peringkat daerah serta memastikan agihan sumber yang berkesan.

Mengulas mengenai laporan tersebut, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, buat julung kalinya My Local Stats diterbitkan untuk setiap daerah pentadbiran yang keseluruhannya berjumlah 160 termasuk VVilayah Persekutuan dan Perlis.

 

Mohd. Uzir Mahidin
Mohd. Uzir Mahidin

 

Penerbitan My Local Stats itu mengandungi 20 bidang statistik sosioekonomi antaranya Penduduk; Perurnahan; Pasaran Buruh, Pekerjaan Pengangguran; Pendapatan dan Perbelanjaan lsi Rumah; Pendidikan; Kesihatan; Perkhidmatan Kebajikan; Keselamatan Awam; Perhubungan dan Rekreasi; Internet dan Media Sosial; dan Kemudahan Asas.

Penerbitan bagi setiap daerah yang mengandungi 101 jadual statistik turut memuatkan penemuan berkaitan pasaran buruh, perkahwinan dan perceraian, kebakaran, banduan, kemalangan jalan raya, penagihan dadah dan kamera litar tertutup (CCTV).

Sementara itu, kualiti pendidikan dari segi akses kepada peluang pendidikan yang saksama telah bertambah baik.

Statistik sekolah kerajaan pada 2019 menunjukkan terdapat 7,773 sekolah rendah dan 2,438 sekolah menengah untuk kemudahan pembelajaran 2.7 juta pelajar sekolah rendah dan 2 juta pelajar sekolah menengah.

Dalam masa sama, Mohd. Uzir menekankan sektor kesihatan kini menghadapi persekitaran yang mencabar dari segi keperluan masyarakat, kemunculan risiko penyakit baharu dan perubahan dalam teknologi perubatan.

“Menyedari kepentingan aspek penjagaan kesihatan dalam kalangan masyarakat, sehingga 2018 terdapat 154 hospital kerajaan, 1,090 klinik kesihatan, 1,791 klinik desa dan 343 klinik komuniti bagi memudahkan orang ramai untuk mendapatkan rawatan kesihatan.

“Statistik peringkat daerah menunjukkan daerah Kuching mempunyai klinik kesihatan kerajaan tertinggi iaitu 22 buah diikuti Kinta (20 buah) dan Johor Bahru (17 buah),” katanya dalam satu kenyataan berhubung laporan My Local Stats.

Penerbitan My Local Stats telah dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed bersempena Hari Statistik Negara (MyStats Day) 2020 yang akan disambut pada 20 Oktober 2020 seiring Hari Statistik Sedunia (World Statistics Day). – DagangNews.com