2020 : 31,000 jawatan kosong swasta 'hilang' | DagangNews Skip to main content

2020 : 31,000 jawatan kosong swasta 'hilang'

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Feb. - Tahun lalu menyaksikan permintaan oleh sektor swasta lebih perlahan dengan jumlah pekerjaan yang diwujudkan menurun 31,000 kepada 73,000 berbanding 104,000 pada tahun 2019. 

 

Menurut Sorotan Pasaran Buruh Suku Keempat 2020 (4Q20) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM), pasaran buruh menonjolkan pemulihan sederhana pada suku berkenaan di sebalik usaha untuk melandaikan gelombang ketiga COVID-19.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pada suku 4Q20, sebahagian besar perniagaan masih belum kembali kepada tahap optimum seperti tempoh sebelum krisis berikutan pelaksanaan semula Perintah Kwalan Pergerakan (PKP) dan PKP Diperketatkan (PKPD) di kawasan berisiko tinggi seluruh negara. 

 

Mohd. Uzir Mahidin
Mohd. Uzir Mahidin

 

“Dari segi penawaran, bilangan penduduk bekerja turun 0.6% tahun ke tahun kepada 15.16 juta orang, manakala kadar pengangguran meningkat kepada 4.8%, dengan bilangan penganggur seramai 761,000 pada 4Q20.

 

“Dalam tempoh sama, kadar penyertaan tenaga buruh jatuh 0.6 mata peratusan kepada 68.5% berbanding 69.1% pada 4Q19.

 

“Oleh itu, bilangan di luar tenaga buruh meningkat 3.6% kepada 7.32 juta, dengan lebih dari 40% disebabkan persekolahan,” katanya dalam sebuah kenyataan berhubung laporan berkenaan. 

 

Sementara itu, sorotan berkenaan turut mendedahkan bilangan jawatan sektor swasta menurun 2.4% kepada 8.46 juta.

 

Jelas DoSM, bilangan kekosongan jawatan berkurang sebanyak 22,000 pada 4Q20 berbanding 4Q19 kepada 176,000 kekosongan jawatan. 

 

“Angka awalan berdasarkan purata suku tahunan statistik tenaga buruh menunjukkan bilangan penduduk bekerja merekodkan peningkatan kecil kepada 15.10 juta manakala bilangan penganggur naik kepada 711 ribu. 

 

“Justeru, kadar pengangguran (sepanjang tahun lalu) melonjak naik kepada 4.5% berbanding kadar purata 3.0% yang direkodkan dalam tempoh sama sebelum krisis,” ujar Mohd. Uzir lanjut. - DagangNews.com