2020 : Prestasi kargo udara terburuk sejak 1990, permintaan penumpang jatuh 75% | DagangNews Skip to main content

2020 : Prestasi kargo udara terburuk sejak 1990, permintaan penumpang jatuh 75%

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 4 Feb. - Pasaran pengangkutan udara global menunjukkan permintaan kargo udara jatuh 10.6% tahun ke tahun pada 2020, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA). 

 

Kemerosotan yang dicatatkan itu juga adalah terburuk sejak IATA memantau prestasi permintaan kargo sejak 1990, mengatasi kejatuhan 6% dalam perdagangan global dalam barangan. 

 

Permintaan global pada 2020 yang diukur berdasarkan kargo per kilometer, adalah 10.6% lebih rendah daripada paras 2019 (iaitu -11.8% untuk operasi antarabangsa), katanya. 

 

"Bagi kapasiti global, yang diukur mengikut kargo per kilometer, merosot 23.3% pada tahun lalu (-24.1% bagi operasi antarabangsa) berbanding 2019. 

 

"Malah, permintaan merosot lebih daripada 2 kali ganda. Disebabkan kurangnya kapasiti, faktor muatan kargo meningkat 7.7% tahun lalu," katanya dalam kenyataan. 

 

Bagaimanapun, menurut Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Alexandre de Juniac, pengangkutan kargo udara mampu bertahan daripada krisis dengan lebih baik berbanding segmen perniagaan penumpang.

 

Jelasnya, bagi kebanyakan syarikat penerbangan, tahun 2020 menyaksikan kargo udara menjadi sumber penting kepada pendapatan di sebalik permintaan lemah. 

 

"Tetapi dengan lebih banyak pesawat penumpang dilarang terbang, memenuhi permintaan kapasiti akan terus menjadi cabaran besar," katanya.

 

Pada masa sama, ujarnya, sekatan perjalanan masih dikuatkuasakan bagi mengekang varian baharu COVID-19, adalah sukar untuk melihat peningkatan dalam permintaan pasaran penumpang atau masalah kapasiti.

 

"Ini menjadikan 2021, satu lagi tahun yang sukar," katanya. 

 

Berdasarkan data terbaharu IATA, trafik penumpang global pada 2020 menunjukkan permintaan (hasil penumpang bagi setiap kilometer - RPK) jatuh 65.9% berbanding tahun sebelumnya, penurunan trafik paling teruk dalam sejarah penerbangan global. 

 

Ia juga menyaksikan permintaan penumpang antarabangsa merosot 75.6% pada 2020 di bawah paras 2019. 

 

Kapasiti yang diukur berdasarkan tempat duduk kilometer (ASK) juga susut 68.1% manakala faktor muatan menurun 19.2% kepada 62.8%.  

 

"Bagi tempahan awal yang dibuat Januari 2021 pula, merosot 70% berbanding setahun lalu, sekali gus meletakkan tekanan kepada kedudukan tunai syarikat penerbangan dan merencatkan usaha pemulihan seperti disasarkan," katanya. - DagangNews.com