2021: MIDF unjur pertumbuhan KDNK 5.4%, ringgit RM3.95 | DagangNews Skip to main content

2021: MIDF unjur pertumbuhan KDNK 5.4%, ringgit RM3.95

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 26 Mac - Firma penyelidikan, MIDF Research percaya ekonomi Malaysia berada di landasan pemulihan dan akan berkembang pada kadar 5.4% dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2021. 

 

Ini akan disokong oleh aktiviti domestik dan global yang dijangka secara beransur-ansur dijalankan semula, didorong oleh elemen-elemen positif, menurut MIDF. 

 

Namun, firma penyelidikan itu tidak menafikan bahawa pertumbuhan ekonomi negara akan tersekat oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan PKP Bersyarat (PKPB).

 

“Sempadan antarabangsa yang ditutup akan terus membebankan prestasi ekonomi sektor berkaitan pelancongan dan sekatan perjalanan rentas negeri menambahkan bebanan itu. 

 

“Kami juga meramalkan penyusutan sementara dalam pemulihan pasaran buruh ketika tempoh PKP 2.0 yang akan menjejaskan prospek pendapatan,” kata MIDF dalam laporannya hari ini.

 

Jangkaan ekonomi Malaysia untuk terus pulih agak terencat dengan pelaksanaan semula PKP di hampir seluruh negara bermula 13 Januari hingga 5 Mac 2021. 

 

Kerajaan telah menganggarkan kerugian yang bakal dipikul negara akibat pelaksanaan itu sekitar RM300 juta sehari, lebih rendah berbanding RM2.4 bilion ketika PKP 1.0.

 

Pendorong kepada pertumbuhan ekonomi dijangka beralih daripada sektor perkhidmatan yang menjadi penyumbang terbesar dalam KDNK Malaysia kepada sektor pembinaan.

 

Dalam ramalan MIDF, sektor itu akan mencatatkan pertumbuhan tertinggi pada kadar +14.9% tahun ke tahun (y-o-y) memandangkan aktiviti pembinaan akan berlaku lebih cepat pada tahun ini.

 

Dari segi prestasi perdagangan negara pula, ia dijangka melonjak semula pada tahun ini, dipacu oleh aktiviti global yang berjalan semula serta rantaian bekalan global kembali normal, kata MIDF.

 

Harga komoditi dan kapasiti ganti yang berdaya saing akan menjadi suntikan tambahan kepada pemulihan perdagangan, katanya.

 

“Malaysia akan menerima manfaat daripada pemulihan kukuh oleh rakan perdagangan utama iaitu China dan Amerika Syarikat (AS). 

 

“Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam prospek ekonominya baru-baru ini meramalkan pertumbuhan global yang lebih tinggi iaitu pada kadar +5.5% pada tahun 2021, +0.3% mata peratusan lebih tinggi berbanding versi Oktober dengan lonjakan lebih kukuh di AS iaitu +5.1% dan China, +8.1%,” ujar MIDF lanjut.

 

Di sebalik prospek positif itu, pasaran buruh bagaimanapun dijangka pulih lebih perlahan disebabkan oleh impak PKP 2.0.

 

Oleh itu, MIDF menjangkakan kadar pengangguran mungkin berlegar dalam sekitar 4.3% bagi tahun ini, pemulihan sederhana daripada 4.5% pada tahun 2020.

 

Bagi prospek mata wang negara pula, MIDF mengunjurkan ringgit akan mencecah paras RM3.95, menyaksikan purata RM4.05 berbanding dolar AS menjelang hujung tahun ini. 

 

Jelas firma penyelidikan itu, sebagai sebuah negara pengeksport bersih petroleum, ketidaktentuan dalam harga minyak mentah memberi impak besar ke atas pergerakan ringgit. 

 

“Ringgit biasanya mengukuh dengan harga minyak mentah yang lebih tinggi, begitu juga sebaliknya. Namun, ringgit baru-baru ini menonjolkan trend lemah walaupun harga minyak mentah mengukuh memandangkan pergerakan itu didorong, terutamanya oleh faktor-faktor luaran seperti perkembangan dasar fiskal dan monetari AS,” tambah MIDF.

 

Sehubungan itu, MIDF percaya tiada keperluan untuk menurunkan lagi kadar dasar semalaman (OPR) bagi tahun ini kerana pemotongan terkumpul sebanyak 125 mata asas (bps) pada tahun lalu cukup untuk menyokong ekonomi negara.

 

Dalam pada itu, sentimen ekonomi akan bertambah baik dengan adanya program vaksinasi dan peningkatan kes COVID-19 yang lebih perlahan, ramal MIDF. - DagangNews.com