Eksport Malaysia 8 bulan 2024 naik 6% kepada RM991 bilion, TA Securities kekalkan unjuran pertumbuhan | DagangNews Skip to main content

Eksport Malaysia 8 bulan 2024 naik 6% kepada RM991 bilion, TA Securities kekalkan unjuran pertumbuhan

Gambar hiasan SPT Services MMC
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 20 Sept - Jumlah eksport Malaysia meningkat 6% bagi tempoh Januari hingga Ogos 2024 (8M24) kepada RM991.36 billion berbanding tempoh sama tahun lalu, kata TA Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pada tempoh yang sama, jumlah import Malaysia melonjak sebanyak 16.8% tahun ke tahun kepada RM913.18 bilion, mencerminkan pertumbuhan yang berterusan. 

 

"Trend ini menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM78.17 bilion. Selain itu, jumlah dagangan untuk tempoh tersebut berjumlah RM1.904 trilion, menandakan peningkatan tahunan yang memberangsangkan sebanyak 10.9%," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

TA Securities bagaimanapun berkata, terdapat kebimbangan mengenai angka suku tahun hingga kini. 

 

Katanya, lebihan dagangan yang merupakan petunjuk bagi eksport bersih dalam pengiraan Keluaran Dalam Negari Kasar (KDNK) menyusut dengan purata 65.2% tahun ke tahun dalam dua bulan pertama suku ketiga. 

 

Jelas firma itu, ini adalah lebih lemah berbanding penyusutan -42.7% tahun ke tahun yang dicatatkan pada suku kedua. 

 

"Jika Malaysia terus mencatatkan lebihan dagangan yang tidak menggalakkan dalam bulan-bulan akan datang, ia mungkin memberi kesan negatif kepada prestasi KDNK," jelasnya. 

 

perd
Infografik DOSM

 

ARTIKEL BERKAITAN: Perdagangan Malaysia Ogos 2024 cecah RM252.65 bilion, eksport naik 12.1% - MITI

 

Walau bagaimanapun, TA Securities berpandangan ketahanan pertumbuhan ekonomi domestik akan membantu mengurangkan kesan permintaan luar yang lemah.

 

"Dengan itu, prestasi dagangan luar negara sejajar dengan jangkaan kami, dan kami kekal optimis tentang peningkatan prestasi dagangan pada tahun 2024. 

 

"Walaupun ketidakpastian masih ada disebabkan pemulihan perlahan di China, kami menjangkakan pemulihan dalam permintaan dari pasaran utama ini," ujarnya.

 

Firma itu berkata, contohnya China telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan selepas dua bulan berturut-turut mengalami penyusutan tahun ke tahun. 

 

Selain itu, TA Securities percaya bahawa mempelbagaikan eksport dan memberi tumpuan kepada pasaran lain akan membantu mengurangkan sebarang kesan negatif. 

 

"Amerika Syarikat, yang terus mengalami pertumbuhan, muncul sebagai pasaran eksport terbesar Malaysia dalam tempoh ini.

 

"Selain itu, Malaysia telah menyaksikan peningkatan ketara dalam import barang pertengahan dari Disember 2023 hingga Ogos 2024," katanya.

 

Menurutnya, trend ini menunjukkan bahawa eksport mungkin meningkat tidak lama lagi, kerana barang pertengahan adalah penting untuk pengeluaran produk akhir. 

 

"Peningkatan dalam import ini menunjukkan bahawa pengeluar Malaysia sedang meningkatkan pengeluaran untuk memenuhi permintaan yang lebih tinggi bagi barang siap, baik di dalam negara mahupun antarabangsa. 

 

"Kami mengekalkan unjuran pertumbuhan eksport sebanyak 7.0% dan pertumbuhan import sebanyak 10.6% untuk tahun 2024," jelasnya. - DagangNews.com