Pelancongan domestik melonjak 23.8% pada suku kedua 2024 dengan merekodkan 68.4 juta pelawat domestik - DOSM | DagangNews Skip to main content

Pelancongan domestik melonjak 23.8% pada suku kedua 2024 dengan merekodkan 68.4 juta pelawat domestik - DOSM

Terimaan pelancongan domestik turut meningkat 32.5 peratus untuk merekodkan RM84.9 bilion. - Gambar Kelvin Zyteng/ Unsplash
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 20 Sept – Pelancongan domestik di Malaysia meneruskan prestasi memberangsangkan, dengan merekodkan 68.4 juta pelawat domestik bagi suku kedua 2024, peningkatan ketara 23.8 peratus berbanding suku tahun yang sama pada tahun sebelumnya.

 

Bagi perbandingan suku tahun, pelawat domestik meningkat 16.8 peratus berbanding suku pertama 2024, menurut  Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam Survei Pelancongan Domestik Malaysia pada suku kedua tahun 2024 dan tahunan 2023 mengikut negeri.

 

Sejajar dengan itu, perbelanjaan pelancongan domestik bagi suku kedua 2024 mencecah RM28.1 bilion, meningkat 28.6 peratus tahun ke tahun, dan perbandingan suku tahun meningkat 16.9 peratus.

 

Ketua Perangkawan Malaysia Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi pelancongan domestik Malaysia pada tahun 2023 terus menunjukkan pertumbuhan kukuh dengan ketibaan pelawat domestik merekodkan 213.7 juta pelawat, peningkatan 24.6 peratus berbanding 171.6 juta pelawat pada tahun sebelumnya.

 

Selain itu, terimaan pelancongan domestik turut meningkat 32.5 peratus untuk merekodkan RM84.9 bilion, yang memberi gambaran impak positif selepas pembukaan semula semua aktiviti ekonomi.

 

"Namun begitu, jika dibandingkan dengan tahap pra-pandemik pada tahun 2019, jumlah pelawat domestik masih 10.6 peratus lebih rendah dan terimaan juga turut menyusut 17.7 peratus," kata beliau dalam kenyataan hari ini.

 

 

parafrasa

 

 

Selari dengan pemulihan nasional, prestasi pelancongan domestik Malaysia, semua negeri merekodkan peningkatan yang ketara dari segi volum dan jumlah terimaan pelancongan.

 

Pada tahun 2023, Selangor merekodkan terimaan pelancongan domestik tertinggi dengan RM11.1 bilion, meningkat 27.1 peratus berbanding RM8.73 bilion pada tahun 2022. Ini diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan terimaan RM11.0 bilion, meningkat berbanding RM7.73 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Sarawak dan Pahang turut mempamerkan pertumbuhan terimaan yang kukuh, masing-masing mencatatkan RM6.94 bilion (2022: RM5.43 bilion) dan RM6.73 bilion (2022: RM5.32 bilion).

 

Membeli-belah merupakan komponen terbesar daripada jumlah terimaan dengan sumbangan keseluruhan RM30.84 bilion, di mana Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mendahului dengan RM4.85 bilion, diikuti Selangor (RM4.14 bilion) dan Sarawak (RM2.66 bilion).

 

Komponen utama lain meliputi perbelanjaan makanan & minuman, penginapan dan pembelian bahan api kenderaan.

 

Melawat saudara & rakan-rakan merupakan tujuan utama perjalanan bermalam pelancongan domestik untuk semua negeri kecuali Wilayah Persekutuan Labuan (percutian/ riadah/ rehat).

 

Sementara itu, purata bilangan hari menginap (ALOS) nasional adalah 2.45 malam, sedikit menurun berbanding 2.55 malam pada 2022.

 

Beberapa negeri merekodkan ALOS melebihi peringkat nasional seperti Sarawak (3.48 malam), Kelantan (3.07 malam), Wilayah Persekutuan Labuan (2.89 malam), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (2.70 malam), Sabah (2.67 malam) dan Terengganu (2.59 malam).

 

Berdasarkan profail sosial & demografi pelawat domestik, sembilan negeri iaitu Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya menerima majoriti pelawat domestik daripada isi rumah yang berpendapatan antara RM5,001 dan RM10,000 sebulan.

 

Sementara itu, baki tujuh negeri iaitu Kedah, Kelantan, Perak, Perlis, Terengganu, Sabah dan Sarawak mencatatkan peratusan tertinggi pelawat domestik daripada isi rumah berpendapatan RM1,001 hingga RM3,000 sebulan. - DagangNews.com