Perkembangan pendapatan teras FY24-FY26 Capitaland dipacu hasil tambahan aset baharu - CGS International | DagangNews Skip to main content

Perkembangan pendapatan teras FY24-FY26 Capitaland dipacu hasil tambahan aset baharu - CGS International

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Sept - CGS International mengunjurkan perkembangan pendapatan teras CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) bagi FY24 hingga FY26 didorong oleh hasil tambahan daripada aset baharu yang diperoleh.

 

Katanya, aset baharu itu termasuk Pusat Pengedaran Glenmarie (GDC) dan tiga kilang di Nusajaya Tech Park (NTP), Johor.

 

Firma penyelidikan itu menganggarkan kedua-dua aset baharu akan memberikan sumbangan pendapatan sulung bermula 1QFY25 dan seterusnya, dengan pendapatan hartanah bersih (NPI) yang lumayan antara 5.9% hingga 6.7% pada FY25.

 

"Walaupun kadar penggearan kumpulan berada 41.9% pada akhir Jun 2024, kami menganggarkan CLMT boleh menampung sekitar RM415 juta pinjaman tambahan untuk pemerolehan masa hadapan tanpa melebihi had penggearan 50% yang ditetapkan oleh SC.

 

"Selain tu, memandangkan kekurangan pusat membeli-belah berkualiti tinggi di Malaysia, kami percaya kumpulan itu berkemungkinan memperoleh hartanah perindustrian baharu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

CGS International percaya, CLMT bersedia untuk merekodkan pendapatan yang lebih baik pada FY24 hingga FY26 disokong oleh set metrik operasi yang lebih baik, terutamanya daripada aset runcitnya di Pulau Pinang.

 

Katanya, pada separuh pertama 2024, pengembalian sewa bagi aset runcit CLMT adalah pada purata 8.7%.

 

Firma penyelidikan itu berkata, tidak termasuk pusat beli-belah di Lembah Klang, purata pulangan sewa pada separuh pertama 2024 lebih tinggi pada paras 10.2%, disokong prestasi memberangsangkan daripada Plaza Gurney dan Queensbay Mall.

 

"Ini berlaku di tengah-tengah kerancakan ekonomi Pulau Pinang yang semakin meningkat, yang kami percaya akan mencatatkan pengembangan ekonomi yang kukuh dan aliran masuk pelaburan yang mampan sepanjang FY24-FY26.

 

"Kadar sewa purata untuk pusat beli-belahnya di luar Lembah Klang (Gurney Plaza, Queensbay Mall dan East Coast Mall) kini telah melepasi sedikit tahap pra COVID-19," katanya.

 

Firma penyelidikan menyukai CLMT kerana pendedahannya kepada pusat beli-belah berkualiti tinggi, seperti Plaza Gurney dan Queensbay Mall yang dipercayai bersedia untuk memberikan pengembalian sewa yang tinggi dan kadar penghunian yang berdaya tahan.

 

"Kami menyemak naik penarafan kumpulan kepada 'tambah' berbanding 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 80 sen sesaham," katanya.- DagangNews.com