250 peniaga wanita sertai Seminar Urus Tunai sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Kelantan | DagangNews Skip to main content

250 peniaga wanita sertai Seminar Urus Tunai sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Kelantan

Antara peserta Seminar Urus Tunai anjuran INSKEN di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Kelantan pada 22 Julai 2022. - Gambar DagangNews.com
oleh HUSNA ABDULLAH

KOTA BHARU 22 Julai - Peluang mengikuti Seminar Urus Tunai dari Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi keenam hari ini memberi pendedahan baharu kepada 250 peniaga kecil-kecilan di Kelantan.

 

Rata-rata peserta wanita yang terpilih ialah peniaga kecil-kecilan yang menjalankan pelbagai jenis perniagaan hasil kolaborasi INSKEN dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Kelantan.

 

Seorang peniaga, Nazyihani Mat Razali, 38, berkata peluang itu sangat dihargai kerana banyak ilmu perniagaan baharu diperoleh sepanjang seminar dua jam itu berlangsung.

 

"Sebelum ini saya berniaga kedai runcit dan kedai makan namun tidak bertahan lama kerana beberapa masalah yang dihadapi dan akhirnya saya terpaksa menutup operasi perniagaan.

 

"Sekarang saya menjual goreng pisang, keropok lekor dan cempedak goreng di Pasar Siti Khadijah sebagai sumber rezeki untuk menyara empat orang anak.

 

"Dalam seminar ini, kami didedahkan dengan kepentingan untuk merekodkan segala perbelanjaan dan aliran keluar masuk duit dengan cara yang betul untuk memastikan perniagaan berada di landasan yang betul," katanya kepada DagangNews.com.


 

Nazyihani Mat Razali
                      Nazyihani Mat Razali


 
Seorang lagi peserta, Yusfetyhah Idris, 32, pula berkata, perkongsian ilmu oleh penceramah secara santai itu sangat berkesan untuk mereka yang baru sahaja hendak berjinak-jinak dalam dunia perniagaan.

 

"Betul juga kata penceramah tadi punca gagalnya sesebuah perniagaan ialah kerana tiada pengurusan yang teratur. Perbelanjaan melebihi pendapatan dan ia tidak disedari kerana tiada transaksi yang direkodkan.

 

"Selepas ini, saya akan amalkan semua tips perniagaan yang diberi kerana semua rekod itu juga penting untuk mendapatkan pembiayaan geran atau pinjaman perniagaan dari mana-mana agensi dan jabatan keusahawanan," katanya yang menjual tuala bundle di pasar-pasar malam sekitar Kota Bharu.

 

 

Yusfetyhah Idris
                           Yusfetyhah Idris

 

 

Sementara itu Pengurus Jabatan Pembangunan Latihan INSKEN, Norasiah Harun berkata seminar hari ini bertujuan mendidik peniaga kecil-kecilan mengenai sistem dan rekod perniagaan yang sering dipandang remeh dan diabaikan.

 

"Budaya ini perlu dihentikan kerana perniagaan yang bagus dan mampu berkembang ke peringkat antarabangsa perlu diurus mengikut tatacara yang betul antaranya rekod simpanan tunai dan pembelian stok untuk meningkatkan hasil jualan.

 

"Tadi pun saya kongsikan istilah 'perompak profesional' merujuk kepada kegagalan pemilik perniagaan dalam pengurusan kewangan syarikat. Kebanyakan peserta faham mengenai perkara itu cuma mereka tidak tahu apa tindakan yang perlu dibuat.

 

 

Norasiah Harun
                      Norasiah Harun

 

 

"Hari ini semua peserta dibekalkan dengan buku nota dan catatan ringkas aliran tunai.

 

"Apabila mereka dapat menguasai kemahiran itu, barulah boleh menyertai seminar selanjutnya dari agensi keusahawanan yang lain," katanya. - DagangNews.com