KUALA LUMPUR 15 Julai - Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal dalam lingkungan harga RM2,000 hingga RM2,400 setiap tan pada suku ketiga 2020.
Memandangkan harga tersebut akan lemah sepanjang tempoh berkenaan, maka industri MSM perlu kekal berdaya saing berbanding minyak sayur bagi berdepan bulan-bulan pengeluaran yang tinggi.
Bagaimanapun, Maybank Investment Bank Research (Maybank IB) melihat harga berkenaan akan mula melonjak di penghujung tahun setelah ramalan pengeluaran kembali reda.
“Harga MSM perlulah berdaya saing memandangkan permintaan minyak sawit dijangka meningkat seiring lambakan pengeluaran untuk mengelak penompokan inventori besar terutamanya jika hasil kacang soya Amerika Syarikat (AS) menunjukkan prestasi lebih baik pada musim kali ini.
“Secara umumnya, harga MSM didagangkan pada purata diskaun untuk berdaya saing dengan minyak-minyak lain seperti minyak soya Argentina (AS$170/t), minyak soya AS (AS$60/t) dan minyak buah rapese Jerman (AS$343/t),” jelas laporan Maybank IB.
Bagaimanapun, kadar eksport MSM Malaysia pada bulan Jun meningkat setelah negara ini memperkenalkan kadar duti eksport MSM kepada sifar yang tepat pada masanya.
Dalam masa sama, simpanan stok juga menunjukkan penurunan positif kepada dua tan metrik.
“Pengeluaran pada bulan Jun menunjukkan kemuncak bulan pengeluaran bagi MSM yang mungkin akan berterusan sehingga Oktober sebelum kembali reda pada bulan November ke Disember,” tambah Maybank IB.
Pertumbuhan eksport pada Jun bukan sahaja didorong oleh kadar sifar duti eksport, malah disebabkan oleh permintaan yang terkumpul selepas perintah berkurung COVID-19.
Sehingga separuh pertama 2020, jumlah eksport MSM Malaysia mencatatkan sebanyak 7,795,494 tan dengan kadar eksport ke India menunjukkan peningkatan paling memberangsangkan. - DagangNews.com