3 daripada 5 PKS percaya amalan ESG beri nilai jangka panjang – kajian Alliance Bank | DagangNews Skip to main content

3 daripada 5 PKS percaya amalan ESG beri nilai jangka panjang – kajian Alliance Bank

(Dari kiri) Ketua Pegawai Strategi, Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan Kumpulan Alliance Bank, Dr Aaron Sum Wei Wern; Pengarah Eksekutif Rangkaian Kompak Global PBB Malaysia dan Brunei, Faroze Nadar; Kellee Kam; and Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank Rizal IL-Ehzan, Fadil Azim di pelancaran laporan tinjauan Gambaran ESG dari PKS Malaysia: Membina Masa Depan Bersama yang Lebih Baik.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 17 April - Tiga daripada lima perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia percaya bahawa menerapkan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam perniagaan akan mencipta nilai jangka panjang, membina tenaga kerja yang kukuh dan menambah peluang perniagaan.

 

Hasil tinjauan tersebut dikongsikan oleh Alliance Bank Malaysia Berhad yang telah melaporkan tinjauan ESG tahun yang pertama bertajuk Gambaran ESG dari PKS Malaysia: Membina Masa Depan Bersama yang Lebih Baik, dengan pentauliahan secara bersama dengan Rangkaian Kompak Global PBB Malaysia dan Brunei (UNGCMYB) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp. Malaysia).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata di peringkat tempatan, terdapat kekurangan rangka kerja dan maklumat berkaitan PKS yang boleh membantu perniagaan kecil dalam perkembangan ESG mereka dan kajian tersebut bertujuan untuk merapatkan jurang dalam pasaran.

 

Kajian yang meliputi 610 PKS ini mendapati sejumlah 28% telah mengamalkan ESG ke dalam strategi mereka, di mana tiga penggalak utama untuk menerima pakai amalan tersebut adalah peningkatan produktiviti, penjimatan kos dan reputasi jenama.

 

80% daripada pengguna ESG ini mengiktiraf nilai penggunaan ESG dan merancang untuk meneruskan penggunaan, manakala sejumlah 76% telah memulakan perjalanan mereka dalam tempoh lima tahun yang lalu dan 39% melaporkan peningkatan keuntungan dan penjimatan kos daripada amalan ESG.

 

Bagaimanapun, cabaran utama dikenal pasti oleh pengguna ESG terdiri daripada kekangan sumber, kekurangan arahan berwawasan dan kekurangan kepakaran teknikal dan operasi.

 

 

esg

 

 

Sementara itu, sejumlah 78% PKS yang bukan pengguna ESG enggan mengamalkannya disebabkan ketidakpastian tentang impak, pengetahuan terhad dan kekangan kewangan.

 

Namun, kumpulan PKS ini menyatakan bahawa sokongan kewangan oleh bank, peluang latihan dan pembelajaran secara tajaan serta insentif cukai akan memudahkan mereka untuk menerima ESG, di mana 58% daripada mereka bersikap terbuka dan berminat untuk menerima pakai ESG dalam masa terdekat.

 

Kellee berkata Alliance bank berusaha menyokong dan memberi panduan dan penyelesaian inovatif bagi membantu pelanggan menerima amalan mampan untuk memiliki daya saing dan kekal relevan.

 

“Pendekatan kami ditakrifkan oleh 3A iaitu Advocacy, Advice dan Answers, di mana selain menyokong (Advocacy) penggunaan ESG, kami turut bekerjasama dengan rakan-rakan strategik untuk menasihati (Advice) PKS tentang peralihan ESG mereka dan pada masa yang sama menyediakan penyelesaian yang sesuai bagi menjawab (Answers) kekangan mereka,” tambahnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal bin Nainy berkata PKS di Malaysia perlu menerima ESG untuk kekal relevan dan berdaya saing dalam pasaran tempatan dan juga global.

 

“SME Corp. Malaysia sebagai agensi penyelaras pusat untuk pembangunan PKS melihat keperluan membangunkan ekosistem holistik bagi memacu agenda kemampanan bagi PKS termasuk perusahaan mikro.

 

Inisiatif PKSlestari oleh SME Corp. Malaysia membayangkan penciptaan ekosistem kemampanan PKS dan saya percaya laporan ini akan melengkapkan inisiatif tersebut, khususnya dalam penyediaan rangka kerja dasar untuk menggalakkan dan mempercepatkan penggunaan ESG dalam kalangan PKS,” tambahnya. -DagangNews.com