Menantu Zahid Hamidi, Datuk Saiful Nizam dilantik sebagai Pengerusi Jiankun berkuat kuasa 10 Mei 2024 | DagangNews Skip to main content

Menantu Zahid Hamidi, Datuk Saiful Nizam dilantik sebagai Pengerusi Jiankun berkuat kuasa 10 Mei 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Mei - Jiankun International Bhd mengumumkan pelantikan Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff sebagai pengerusi daripada jawatan presiden yang disandangnya sebelum ini berkuat kuasa 10 Mei 2024.

 

Selepas pelantikan itu, beliau menggariskan rancangan untuk pembangunan semula tapak seluas 1.49 hektar di sepanjang Jalan Tun Razak merangkumi projek menara pangsapuri mesra alam setinggi 52 tingkat dan tiga menara tambahan dengan komponen runcit serta kediaman dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.2 bilion. 

 

"Projek itu terletak hanya lima minit dari stesen MRT terdekat, berhampiran KLCC dan ia menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh lima ke lapan tahun akan datang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

 

Selain pembangunan di Jalan Tun Razak, ia juga melibatkan Residensi Maya dengan GDV RM267 juta, Taman Panchor Jaya (RM73 juta), Lot no. 334 Bukit Tambun (RM200 juta hingga RM220 juta) dan Lot no. 12034, Klebang (RM190 juta hingga RM200 juta). 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Jiankun, Edwin Silvester Das berkata, komitmen kumpulan itu bukan sekadar keuntungan tetapi mengutamakan kelestarian alam sekitar, amalan hijau dan memberi kemampuan untuk pemilik rumah. 

 

edwin
Edwin Silvester Das

 

Sebagai contoh,Taman Panchor Jaya, sebuah projek pegangan bebas perintis bersebelahan dengan perbandaran matang Nibong Tebal  manakala harga untuk 116 rumah teres dua tingkat ini dijangka sangat kompetitif.

 

"Didorong kejayaan luar biasa yang dijangkakan di Seberang Prai Selatan, Jiankun menerokai satu lagi pembangunan pegangan bebas yang menjanjikan di Simpang Ampat, Bukit Tambun, bersebelahan dengan Eco-Meadow dan Perbandaran Batu Kawan. 

 

"Projek 520 pangsapuri perkhidmatan ini dijangka bernilai antara RM200 hingga RM220 juta," katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Jiankun, Datuk Donald Lim berkata, kumpulan itu memberi penekanan terhadap alam sekitar sejajar dengan visi pembangunan mampan Malaysia, bertujuan untuk mengurangkan pelepasan karbon dan mengurangkan perbelanjaan tenaga untuk penduduk sambil meningkatkan nilai hartanah.

 

"Projek Residensi Maya, yang terletak di Kajang bersebelahan dengan perbandaran matang, menunjukkan komitmen ini dengan 600 unit servis apartment 600 unit yang mesra alam dan mampu milik.

 

"Projek ini bukan sahaja memberi perkhidmatan kepada pelajar Kolej Antarabangsa Unifield tetapi juga menyediakan pilihan gaya hidup yang dinaik taraf untuk penduduk tempatan yang mencari penyelesaian kehidupan yang moden dan mampan," katanya. - DagangNews.com