GEORGETOWN 25 Nov - Rackson Group mengumumkan pembinaan projek di Bayan Lepas, yang melibatkan Hotel Le Meridien Penang Airport dan Apartmen Servis Avion.
Dijadualkan siap menjelang suku keempat 2027, projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.5 bilion itu dijangka mengubah pemandangan di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA).
Ketua Pegawai Eksekutif Rackson Group, Kelvin Lor berkata, pembangunan tersebut akan menjadi pencakar langit ikonik pertama yang dapat dilihat sebaik sahaja penumpang tiba di lapangan terbang berkenaan.
"Projek ini direka untuk memenuhi keperluan tujuh juta hingga lapan juta penumpang yang melalui lapangan terbang setiap tahun, termasuk penumpang transit.
"Ia juga dijangka memanfaatkan lebih 300 syarikat multinasional, pelancong tempatan dan pembangunan pesat di selatan Pulau Pinang, termasuk Silicon Island," katanya semasa majlis pecah tanah bagi projek tersebut seperti laporan Bernama.
Majlis itu dirasmikan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan dihadiri oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Kelvin berkata, Hotel Le Meridien Penang Airport akan mentakrifkan semula hospitaliti mewah dengan 200 bilik, termasuk suite presiden, sebuah dewan dengan kapasiti 300 orang, kolam infiniti di atas bumbung, restoran sepanjang hari, dan kemudahan bertaraf dunia yang direka untuk pelancong perniagaan dan rekreasi.
Sementara itu, Apartmen Servis Avion oleh Rackson akan menampilkan 608 unit yang direka dengan teliti, dengan konfigurasi satu, dua dan tiga bilik tidur untuk memenuhi pelbagai keperluan.
Projek itu, yang direka sebagai pembangunan berorientasikan transit, akan menawarkan sambungan yang lancar ke PIA, stesen transit ringan yang akan datang dan Mitsui Outlet Park, menjadikannya satu projek menarik untuk penduduk dan pelabur. - DagangNews.com