KUALA LUMPUR 25 Nov - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bakal melancarkan 12 projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.5 bilion pada tahun depan, mencerminkan komitmennya untuk memajukan pasaran hartanah Selangor.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Mahmud Abbas berkata, enam projek akan dilancarkan pada separuh pertama 2025, diikuti enam lagi pada separuh kedua.
Katanya, pada tahun ini, perbadanan menyasarkan GDV antara RM800 juta hingga RM1 bilion, memperkukuh kehadirannya dalam sektor hartanah yang kompetitif.
"PKNS telah berkembang dengan ketara dari zaman awal pembinaan pangsapuri sekitar 50 hingga 60 tahun lalu.
"Hari ini, kami bergerak ke segmen pasaran pertengahan dan tinggi, satu perubahan yang diperlukan oleh sifat kompetitif industri," katanya semasa berucap di Karnival PKNS Pilih di Selangor Cyber Valley (SCV) pada Sabtu.
Mahmud menjelaskan, PKNS telah membangunkan tiga jenis produk perumahan di Cyberjaya untuk memenuhi pelbagai demografi, antaranya pangsapuri mampu milik yang berharga antara RM300,000 hingga RM400,000 untuk pembeli muda atau isi rumah kecil.
Tambahnya, rumah teres Aludra Residensi yang berharga RM500,000 pula menawarkan fleksibiliti dengan pilihan unit lebih besar yang berharga RM1 juta, menyediakan ruang seluas 2,000 kaki persegi.
"Untuk mereka yang mencari kediaman mewah, kami mempunyai Azhara, direka untuk keluarga yang lebih besar. Kami berhasrat menyediakan kediaman untuk pelbagai peringkat kehidupan, dari yang bujang, berkeluarga dengan seorang anak dan keluarga besar," ujar beliau seperti laporan Bernama.
Karnival PKNS Pilih berfungsi sebagai platform untuk mempromosikan projek perbadanan dan meningkatkan kesedaran tentang transformasinya dalam pembangunan hartanah.
Ia menunjukkan bagaimana PKNS berubah menjadi pemaju perumahan pertengahan dan tinggi sambil terus mengekalkan komitmennya terhadap keperluan masyarakat.
Pada masa depan, PKNS merancang untuk menumpukan usaha pembangunan di Cyberjaya sambil mempercepatkan projek-projek penting lain di seluruh Selangor.
Mahmud berkata, pihaknya berada di landasan yang tepat untuk memastikan pertumbuhan lanjut sambil mengekalkan keuntungan.
"Strategi kami termasuk memanfaatkan anak syarikat untuk membina rumah dalam julat RM500,000 hingga RM600,000, memenuhi permintaan dalam pelbagai segmen," jelasnya. - DagangNews.com