KUALA LUMPUR 25 Nov - Hong Leong Investment Bank (HLIB) menyemak semula unjuran pendapatannya untuk Petronas Chemicals Group Bhd kesan kenaikan susut nilai dan kos faedah yang dikaitkan dengan Kompleks Petrokimia Pengerang (PPC).
Firma penyelidikan itu menjangkakan prestasi neutral pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) daripada PPC dan telah mengurangkan ramalan pendapatan kumpulan sebanyak 6% untuk FY24, 20% untuk FY25 dan 16% untuk FY26.
Bagi sembilan bulan pertama 2024 (9MFY24), pendapatan teras kumpulan berjumlah RM1.385 bilion, penurunan 14% YoY, hanya mencapai 72% unjuran HLIB dan 61% anggaran konsensus.
HLIB mengaitkan kekurangan itu berpunca daripada perbelanjaan operasi (opex) yang lebih tinggi daripada jangkaan di PPC dan sebaran produk yang lebih lemah dalam segmen Olefin & Derivatif (O&D).
Walaupun penggunaan loji keseluruhan bertambah baik kepada 92% pada 3QFY24 (meningkat daripada 89% pada 2QFY24), meningkatkan jumlah pengeluaran dan jualan, tekanan kos daripada fasa pra pengkomersialan PPC mengimbangi keuntungan ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Petronas Chemicals catat rugi bersih RM762 juta akibat pertukaran dolar AS lemah
PPC dijangka mencapai tarikh pulang modal selepas operasi komersil (COD) EBITDA, tetapi sumbangan kewangannya masih menjadi kebimbangan berikutan susut nilai dan perbelanjaan faedah yang tinggi.
Katanya, segmen baja & metanol (F&M) menunjukkan daya tahan, disokong pemulihan harga urea, yang berpurata AS$342/MT pada 3QFY24, peningkatan 8% ari suku tahun ke suku tahun.
Bagaimanapun, harga polietilena telah berkurangan pada 4QFY24, mencerminkan permintaan global yang lebih lemah dan penurunan harga minyak mentah.
Aktiviti mengisi semula stok bagi musim sejuk di Eropah dan Asia mungkin menawarkan sokongan sementara.
"Bagaimanapun, kami melihat ia seharusnya kekal pada paras semasa pada 4QFY24 memandangkan aktiviti penyimpanan semula yang berterusan semasa musim sejuk di pasaran Eropah dan Asia," katanya dalam satu nota kajian.
Secara keseluruhannya, HLIB menyemak semula prospekya untuk PetChem, menurunkan harga sasarannya kepada RM4.00 daripada RM4.70 berikutan pendapatan suku ketiga (3QFY24) syarikat yang lebih lemah daripada jangkaan.
Firma penyelidikan itu juga mengekalkan saranan "jual" dengan menyatakan tekanan kos dan sebaran produk yang lemah sebagai cabaran utama.- DagangNews.com