Southern Score terima kontrak naik taraf kolam takungan RM78 juta bagi atasi banjir di Kuala Lumpur | DagangNews Skip to main content

Southern Score terima kontrak naik taraf kolam takungan RM78 juta bagi atasi banjir di Kuala Lumpur

Gambar/FB Southern Score
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 16 Jan - Anak syarikat milik penuh Southern Score Builders Bhd (SSBB), Southern Score Sdn Bhd (SSSB), memperoleh kontrak daripada Seribu Megah Sdn Bhd untuk melaksanakan cadangan kerja menaik taraf kolam takungan di Kuala Lumpur bernilai RM78 juta.

 

Projek naik taraf itu adalah sebahagian inisiatif mengatasi banjir kilat di bandar raya Kuala Lumpur.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif SSBB, Gan Yee Hin berkata, pihaknya  berbesar hati dengan kemenangan projek berkenaan selain dapat memainkan peranan dalam menyumbang kepada usaha mengatasi banjir di Kuala Lumpur. 

 

"Kami ingin memanfaatkan kepakaran kami untuk memberi sumbangan kepada masyarakat. Di Southern Score, kami berbangga dapat melaksanakan projek yang memberikan nilai bermakna, mengutamakan kelestarian, tanggungjawab alam sekitar dan hasil positif kepada masyarakat. 

 

"Ini juga menekankan komitmen kami yang semakin mendalam terhadap inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus," katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambah beliau, dengan kontrak itu, kumpulan meningkatkan buku pesanan tertunggaknya kepada RM1.3 bilion, memberikan pendapatan yang jelas dalam tahun kewangan yang akan datang, ketika syarikat menguruskan lebih banyak tender. 

 

"Secara keseluruhan, prospek untuk kumpulan adalah cerah, disokong oleh buku pesanan yang tinggi dan cadangan pengambilalihan SJEE Engineering Sdn. Bhd., sebuah pakar mekanikal dan elektrik (M&E) terkemuka dalam sektor teknologi tinggi dan pusat data," jelasnya.

 

Kerja-kerja menaik taraf kolam takungan itu bermula pada 15 Januari 2025 dan dijangka selesai pada 14 Januari 2026. - DagangNews.com