Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Nov. - Prestasi dan tahap pengeluaran minyak sawit negara pada Oktober 2020 mencatatkan penurunan sebanyak -7.7% bulan ke bulan.
MIDF Research berkata, penurunan tersebut menjadikan jumlah pengeluaran sebanyak 1.7 juta tan metrik sekali gus melepasi tahap jangkaan penurunan pengeluaran yang diletakkan konsensus iaitu -5.6%.
Menilai kepada prestasi dan persekitaran semasa, MIDF Researh menggariskan tiga faktor yang dilihat menjadi punca kepada tahap pengeluaran kurang memberangsangkan itu.
"Kami berpendapat bahawa output yang lebih rendah itu mungkin disebabkan oleh kekerapan curahan hujan seperti fenomena La Nina yang sedang melanda.
"Selain itu, ia juga disebabkan oleh penutupan operasi ladang yang kerap susulan peningkatan semula kes pandemik COVID-19 yang mungkin menyebabkan kelewatan menuai tandan buah segar (TBS).
"Di samping itu, kekurangan tenaga buruh asing yang berterusan juga menjadi salah satu faktor yang menyumbang kepada tahap pengeluaran yang kurang baik," jelas MIDF Research.
Tandan buah segar yang terlalu matang dapat mempengaruhi kualiti minyak sawit yang dihasilkan sekali gus mengurangi potensinya untuk melalui pemprosesan di kilang.
Mengulas lanjut, MIDF Research berpendapat, tahap pengeluaran minyak sawit dijangka terus lemah untuk tempoh akan datang.
Ujarnya, faktor-faktor yang digariskan sebagai punca itu akan terus melanda sektor perladangan sawit menjelang akhir tahun ini.
MIDF Research mengambil pendekatan untuk mengekalkan saranan 'neutral' untuk sektor perladangan bersama harga sasaran CPO (minyak sawit mentah) yang tidak berubah untuk 2020 dan 2021 dengan nilai masing-masing sebanyak RM2,600 dan RM2,700. - DagangNews.com