Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 31 Mac - Selain saham Top Glove Corporation Berhad (Top Glove) yang menyaksikan kemerosotan pada dagangan pagi ini, turut mencuri perhatian tiga lagi saham syarikat sarung tangan utama di pasaran ekuiti tempatan yang menyusut sekitar 2% hingga 4%.
Setakat 10 pagi, nilai saham Kossan Rubber Industries Berhad menyusut 12 sen atau 3.63% kepada RM3.19 dengan permodalan pasaran bernilai RM8.16 bilion.
Prestasi serupa turut ditonjolkan saham Supermax Corporation Berhad yang menyusut 10 sen atau 2.53% kepada RM3.85 dengan permodalan pasarannya bernilai RM10.47 bilion.
Dalam pada itu, nilai saham Hartalega Holdings Berhad pula menyusut 37 sen atau 3.95% kepada RM8.99 dengan nilai pasaran RM30.85 bilion.
Ketiga-tiga saham itu mencuri tumpuan dalam kalangan kaunter rugi pada dagangan pagi ini, selepas saham Top Glove, yang merosot lebih 5% atau 25 sen kepada RM4.53.
Trend urus niaga yang menyusut oleh ketiga-tiga saham sarung tangan utama di pasaran ekuiti negara itu mencetuskan persoalan, adakah ini merupakan impak daripada isu yang ‘menghempap’ Top Glove semalam?
Menerusi sebuah kenyataan yang dikeluarkan semalam, Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) mendakwa pihaknya mempunyai bukti cukup untuk menyekat beberapa jenis sarung tangan pakai buang yang dikeluarkan oleh Top Glove.
Baca : AS ada bukti cukup sekat sarung tangan Top Glove
Sehubungan itu, CBP telah menguatkuasakan arahan itu di pintu masuk pelabuhan AS ekoran sarung tangan pakai buang Top Glove yang dihantar ke negara berkenaan dipercayai dihasilkan oleh buruh paksa.
Baca : Top Glove tidak pasti impak sekatan CBP ke atas kewangan, operasi
Langkah sekatan ke atas sarung tangan susulan isu buruh paksa itu telah mula dicetuskan oleh CBP pada 15 Julai 2020, di mana jabatan itu mengeluarkan Perintah Tahanan Pelepasan ke atas Top Glove.
Kaunter sarung tangan yang didominasi ‘Big 4’ itu meraih manfaat besar sejak penularan pandemik COVID-19, di mana mencetuskan permintaan yang tinggi terhadap produk perlindungan kesihatan tersebut.
Setelah vaksin COVID-19 pertama kali ditemukan oleh Pfizer-BioNtech sekitar November tahun lalu, firma penyelidikan dan pengurusan dana melihat terdapat peralihan kemasukan aliran ekuiti.
Baca : CGS-CIMB senarai 3 saham ‘pemenang’ penemuan vaksin COVID-19
Aliran dana yang sebelum ini dilihat ‘membanjiri’ saham-saham penjagaan kesihatan beransur-ansur beralih kepada saham yang dijangka pulih setelah pengedaran vaksin secara besar-besaran dilaksanakan.
Sejak 22 Februari, saham ‘Big 4’ itu kehilangan permodalan pasaran sehingga RM23.23 bilion, setakat 2 Mac 2021.
Ini disebabkan oleh perkembangan pengedaran vaksin di Malaysia, yang memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Malah, kaunter penjagaan kesihatan di pasaran utama Bursa Malaysia yang turut merangkumi saham-saham sarung tangan menyaksikan sentimen negatif pada pagi ini, indeks itu menyusut 16.08 mata dengan nilai pasaran sebanyak RM1.01 bilion. - DagangNews.com