3 segmen REIT dijangka terjejas akibat PKPB | DagangNews Skip to main content

3 segmen REIT dijangka terjejas akibat PKPB

REIT

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 15 Okt. - Jumlah kehadiran pengunjung ke pasaraya runcit, sewa premis dan perhotelan di bawah kendalian Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) dijangka terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

CGS-CIMB Research berkata, perkara tersebut menyebabkan pemulihan yang tidak stabil untuk kesemua segmen berkenaan.

"Kami jangkakan pemulihan kehadiran pengunjung ke pasaraya runcit dan sewa terjejas kerana PKPB menyebabkan statistik pemulihan jualan pasaraya runcit Malaysia REITs (M-REITs) yang dinilai sejak Julai terbantut.

"Berdasarkan pemerhatian kami juga, jumlah kehadiran pengunjung berada pada tahap pemulihan 60% hingga 80% berbanding sebelum pelaksanaan PKP pada suku pertama 2020," kata CGS-CIMB Research.

Dalam aspek sewa pula, CGS-CIMB menjangkakan trend sewa akan menunjukkan prestasi lebih lemah pada separuh kedua 2020.

Jangkaan itu dibuat melihatkan kepada penutupan beberapa pusat beli-belah di kawasan Lembah Klang.

Pemerhatian umum yang dibuat pasaraya runcit REIT menunjukkan kadar penyewa memuncak pada akhir Ogos, namun masih berada di bawah tahap sebelum pelaksanaan PKP pada suku pertama 2020.

CGS-CIMB juga memberi keyakinan bahawa CapitaLand Malaysia Mall Trust (CMMT) akan turut terkesan akibat daripada PKPB kerana pasaraya runcit merangkumi 96% daripada 
pendapatan hartanah bersihnya (NPI).

Mengulas berkaitan sektor perhotelan REIT, CGS-CIMB berkata, Persatuan Hotel Malaysia menjangkakan sektor perhotelan akan berubah kepada negatif pada separuh kedua 2020 akibat daripada COVID-19.

Ia menganggarkan potensi kerugian pendapatan hingga RM100 juta pada separuh kedua 2020 susulan penurunan 10% hingga 15% kadar tempahan bilik.

Kadar penghuni tetap juga berkemungkinan menurun kepada 20% hingga 25% berbanding 39% pada masa kini.

Situasi tersebut memberi risiko kepada penurunan pendapatan Sunway REIT kerana aset perhotelan merangkumi 16% daripada NPInya.

CGS-CIMB Research mengambil keputusan untuk mengekalkan saranan 'tambah' terhadap saham Axis REIT dan IGB REIT.- DagangNews.com