30 perusahaan terima Geran Padanan Impak Sosial lebih RM5 juta, kata MaGIC | DagangNews Skip to main content

30 perusahaan terima Geran Padanan Impak Sosial lebih RM5 juta, kata MaGIC

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Jun - Sebanyak 30 perusahaan sosial Malaysia telah menerima Geran Padanan Impak Sosial (SIM) di bawah inisiatif Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek (Penjana) dengan nilai lebih RM5 juta setakat hari ini.

 

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Amiruddin Abdul Shukor berkata, geran berkenaan dilihat berkesan untuk mendatangkan impak berganda.

 

“Kami berharap dapat menyokong sebanyak mungkin perusahaan sosial yang layak, secepat mungkin menerusi peruntukan geran penuh bernilai RM10 juta sebagai sebahagian daripada pelan tindak balas kerajaan.

 

“Pemohon perlu mendapatkan pendanaan awam bagi projek-projek mereka untuk padanan 1 kepada 1 menerusi Geran SIM.

 

Amiruddin Abdul Shukor
Amiruddin Abdul Shukor

 

“Biasanya, sesetengah perusahaan sosial memerlukan lebih masa untuk meningkatkan ini (dana), dan kami kini melihat lebih banyak permohonan yang masuk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Geran berkenaan dibangunkan untuk menyokong perusahaan sosial dan perniagaan impak sosial tempatan dalam mempertahankan operasi mereka sepanjang pandemik ini.

 

Ini seterusnya akan memupuk penyelesaian berdasarkan impak di dalam lima bidang iaitu penghidupan komuniti, keselamatan makanan, kesejahteraan kesihatan dan sosial, perlindungan alam sekitar dan pemeliharaan warisan.

 

Kesemua 30 perusahaan yang menerima geran tersebut diharapkan dapat membantu 13,000 lagi rakyat kurang bernasib baik menerusi program-program mereka termasuk golongan muda yang berisiko, ibu tunggal, orang asli, graduan yang menganggur atau komuniti B40 yang terjejas akibat COVID-19.

 

Inisiatif-inisiatif berkenaan dijangka menjana lebih daripada RM15 juta dalam bentuk nilai impak sosial.

 

Sebagai rekod, geran tersebut menyediakan sekurang-kurangnya RM5,000 hingga maksimum RM500,000 untuk setiap pemohon.

 

Permohonan geran tersebut akan berakhir pada 31 Julai depan. - DagangNews.com