33% peniaga Bumiputera kini beroperasi di lapangan terbang | DagangNews Skip to main content

33% peniaga Bumiputera kini beroperasi di lapangan terbang

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com


SHAH ALAM 19 Ogos – Terdapat sebanyak 33% peruncit Bumiputera berniaga di lapangan-lapangan terbang antarabangsa di bawah Malaysia Airports, sekali gus lebih besar berbanding kebanyakan pusat beli-belah di Lembah Klang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohd. Shukrie Mohd. Salleh berkata, daripada segi bilangan kedai runcit, terdapat 800 kedai runcit di seluruh lapangan terbang kendalian Malaysia Airports dan hampir 20% dikendalikan oleh peruncit Bumiputera.

Menurut beliau, membangunkan agenda Bumiputera telah sentiasa menjadi strategi utama bagi Malaysia Airports.
 

mahb
                                                                             Mohd. Shukrie Mohd. Salleh


Bermula 2005 kata beliau, Malaysia Airports telah mengadakan kolaborasi dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk menyediakan antara 15 hingga 20 lot peruncitan kepada peruncit kecil Bumiputera sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial (CSR).

Menurutnya, ia telah memberi peluang dan pasaran kepada peruncit berkenaan yang mungkin tidak ada disebabkan operasi mereka yang kecil-kecilan.

“Penyertaan peruncit Bumiputera adalah sebahagian daripada Indeks Prestasi Utama korporat Malaysia Airports.

“Selain menetapkan sasaran untuk pembabitan Bumiputera di dalam ruang peruncitan, kami juga memastikan 50% perbelanjaan perolehannya dibelanjakan ke atas pengendali Bumiputera,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pemeteraian kerjasama antara Malaysia Airports Holdings Berhad dengan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) untuk menyediakan peluang peruncitan di lapangan terbang kepada peruncit-peruncit Bumiputera.

Yang turut hadir ialah CEO PUNB, Izwan Zainuddin dan Pengurus Besar Kanan bagi Perkhidmatan Komersial Malaysia Airports, Hani Ezra Hussin.

Kedua-dua pihak Malaysia Airports dan PUNB bersepakat untuk mencapai matlamat Wawasan Berkongsi Kemakmuran 2030 dengan menyediakan lebih banyak sokongan bagi memastikan perniagaan Bumiputera daripada industri seperti makanan dan minuman, fesyen dan sebagainya, mendapat tempat di ruang peruncitan KLIA dan lapangan terbang antarabangsa lain. – DagangNews.com