36 langkah cukai bantu syarikat, perniagaan | DagangNews Skip to main content

36 langkah cukai bantu syarikat, perniagaan

Syarikat

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 21 Dis. - Sebanyak 36 langkah cukai telah diperkenal dan diberi di bawah pakej rangsangan untuk membantu industri, perniagaan dan individu di negara ini.

 

Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, langkah tersebut adalah insentif kerajaan kepada syarikat swasta yang mengalami kesukaran untuk terus beroperasi susulan penularan wabak COVID-19.

 

Abdul Rahim Bakri
Abdul Rahim Bakri

 

"Syarikat yang mengalami pengurangan pendapatan akan dikenakan cukai yang lebih rendah, malahan, sekiranya syarikat berkenaan merekodkan kerugian, kerugian tersebut boleh dibawa ke hadapan untuk ditolak ke atas keuntungan masa hadapan. 

 

"Secara keseluruhannya, sebanyak 36 langkah cukai telah diberi di bawah pakej-pakej rangsangan tersebut bagi tujuan membantu industri,perniagaan dan individu termasuk untuk membantu aliran tunai, merancakkan pelaburan dalam negara, menarik pelaburan asing dan menyokong kepada adaptasi norma baharu," katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk T. Mohan dalam sesi pemberitahuan pertanyaan lisan di Dewan Negara hari ini.

 

T. Mohan membangkitkan persoalan berkaitan insentif dalam bentuk pengecualian cukai diberi kepada syarikat-syarikat swasta yang mengalami kesukaran untuk terus beroperasi dalam musim pandemik COVID-19.

 

T. Mohan
T. Mohan

 

 

Mengulas berkaitan bantuan tunai perniagaan pula, beliau memberitahu, kerajaan menyediakan insentif dan langkah cukai seperti berikut;

 

  • Penangguhan bayaran ansuran cukai pendapatan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk tempoh 3 bulan dari 1 April 2020 hingga 30 Jun 2020
  • Penangguhan bayaran ansuran cukai pendapatan untuk tempoh 6 bulan kepada perniagaan di bawah industri pelancongan dari 1 April 2020 hingga 30 September 2020 dan telah dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020 di bawah Pakej PENJANA
  • Rebat cukai pendapatan sebanyak RM20,000 setiap tahun untuk tempoh tiga tahun diberi kepada PKS yang beroperasi mulai 1 Julai 2020 sehingga 31 Disember 2021

 

 

Ujar beliau lagi, langkah berkenaan telah diperkenalkan oleh kerajaan untuk memastikan syarikat dan perniagaan terus beroperasi, berdaya tahan dan berdaya saing serta menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara. - DagangNews.com