37 pemimpin global dan tempatan  sertai Forum Hasanah 2021 | DagangNews Skip to main content

37 pemimpin global dan tempatan  sertai Forum Hasanah 2021

KUALA LUMPUR 15 Nov – Forum Hasanah 2021 akan menampilkan 37 penceramah dan panelis yang terdiri daripada peneraju kepimpinan pemikiran global dan tempatan daripada pelbagai lapisan masyarakat, ahli akademik, pihak kerajaan serta masyarakat prihatin bagi menangani isu-isu utama, mempercepatkan keadilan dan kesaksamaan sosial dan ekonomi di Malaysia.

 

Forum tersebut dianjurkan pertama kalinya oleh Yayasan Hasanah yang merupakan sebuah yayasan berasaskan impak kendalian Khazanah Nasional Berhad, pada 17 hingga 18 November 2021.

 

Forum Hasanah 2021 dijadual akan dirasmikan oleh Menteri Kewangan,  Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz.

 

Pengarah Urusan dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Hasanah, Dato’ Shahira Ahmed Bazari berkata, Forum Hasanah 2021 bertema ‘Daripada Kebajikan kepada Keadilan - Visi untuk Malaysia yang lebih Adil dan Saksama’ diadakan dengan matlamat untuk memacu perubahan sosioekonomi yang konstruktif menerusi kepimpinan fikiran, pemikiran kritis, perbincangan dan kerjasama. 

 

Menurutnya, pelbagai perancangan dan polisi telah diatur untuk menentukan pemulihan Malaysia pascapandemik bagi membolehkan negara mencapai kemakmuran bersama, meningkatkan keterlibatan dan mengorak langkah ke arah Malaysia yang lebih mampan bagi generasi masa hadapan, selaras dengan prinsip Keluarga Malaysia.

 

‘’Kita kini melangkah ke musim baharu. Beberapa tata cara perlu berubah selepas hampir 20 bulan dalam kelembapan ekonomi kesan COVID-19, yang menyaksikan kesan teruk terhadap pelbagai lapisan masyarakat.  

 

“Bagi mengubah situasi keadilan dan kesaksamaan sosial juga memerlukan usaha menyeluruh yang komited. Untuk ini, Forum Hasanah 2021 akan meliputi pandangan daripada pelbagai sektor bagi membolehkan penggerak perubahan mendalami perbincangan masa kini bagi kemajuan bersama yang menyeluruh,” kata beliau dalam kenyataan di sini.


 

Dato’ Shahira Ahmed Bazari
Dato’ Shahira Ahmed Bazari

 

 

Shahira berkata, ia adalah peluang unik yang bertepatan bagi semua pihak untuk berhubung dengan isu-isu yang bakal membentuk rakyat Malaysia – berkaitan isu-isu sosioekonomi dan alam sekitar, hak dan maruah, serta peranan institusi dan masyarakat secara keseluruhannya.

 

“Forum ini adalah kesinambungan kepada usaha perkongsian pengetahuan yang sedang kami lakukan sebagai sebuah Yayasan dan melengkapi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan dan persatuan kemasyarakatan lain bagi meningkatkan momentum pembangunan negara,” tambah beliau.

 

Kemuncak acara termasuk dua Ucaptama oleh Kate Raworth, Ahli Ekonomi dan Penulis buku ‘Doughnut Economics’ dan Ben Phillips, Penulis dan Pendukung keadilan sosial dan kuasa serta penulis buku ‘How to Fight Inequality’.

 

 

hasanah
Ben Phillips (kiri) dan Kate Raworth bakal menyampaikan ucaptama pada Forum Hasanah 2021

 

 

Selain itu, terdapat lima Perutusan Khas oleh pemimpin berwibawa tempatan yang akan berkongsi pengalaman, analisis dan rangka tindakan untuk naratif keadilan Malaysia. Penceramah terlibat ialah Tan Sri Dr Jemilah Mahmood, Tan Sri Nazir Razak, Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Tan Sri Azman Mokhtar dan Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan.

 

Lebih 20 pemimpin masyarakat tempatan, serantau dan global serta pemimpin korporat akan berkongsi pandangan dalam Tiga Sesi Panel Teras - Rakyat & Masyarakat, Rakyat & Institusi dan Rakyat & Kepimpinan - bagi menangani isu memperkasakan tindakan berteraskan masyarakat, perubahan sistemik dan institusi yang kekal serta inovasi dan penyelesaian bagi abad ke-21.

 

Ahli-ahli panel terdiri daripada Penasihat Penyelidik Kanan, Institut Penyelidikan Khazanah; Profesor Jomo Kwame Sundaram; Pengarah Eksekutif Kemasyarakatan & Amal, The Hong Kong Jockey Club, Leong Cheung; Pengasas GOONJ, Anshu Gupta; Ketua Pelaburan dan Pembangunan Komuniti Asia Pasifik, Citi, Yibin Chu; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Corporation Berhad, Jalil Rasheed; Pengerusi Lembaga Pengarah Heriot-Watt University Malaysia, Datuk Yasmin Mahmood dan lain-lain.

 

Perbincangan dalam Tiga Sesi Khas - Pandemik, Masa Depan Malaysia dan Ekosistem Perusahaan Sosial & Bukan Berasaskan Keuntungan - akan membincangkan isu-isu yang dihadapi negara dan sedia untuk ditangani bersama.

hasanah

Sesi-sesi ini akan diterajui Profesor Perubatan dan Penyakit Berjangkit di Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dato’ Dr Adeeba Kamarulzaman; Pengarah Advokasi & Pengasas Bersama, UNDI 18, Tharma Pillai;  Artis & Aktivis Orang Asli, Shaq Koyok; Usahawan Sosial, Earth Heir, Sasibai Kimis; dan lain-lain.

 

Forum ini juga akan menampilkan persembahan pembukaan khas bacaan sajak oleh Sasterawan Negara, Dr Lim Swee Tin, diiringi oleh pemegang biasiswa Yayasan Khazanah Wan Khairun Sofea, dan Pengarah Kreatif dan Muzik Temple of Fine Arts, Kumar Karthigesu.

 

Majlis penutup akan membawakan persembahan khas Arts for All Seasons (ArtsFAS) oleh Yayasan Sutra, Hands Percussion dan Persatuan Cinta Seni Budaya (PERSIDAYA) bagi meraikan kepelbagaian warisan seni di Malaysia. ArtsFAS adalah penambahan terbaharu kepada pelbagai inisiatif pemeliharaan dan pemuliharaan seni oleh Hasanah.

 

Forum Hasanah 2021 diadakan keseluruhannya secara maya dan percuma. Layari https://thf.yayasanhasanah.org untuk menempah kehadiran, mendapatkan maklumat lanjut atau agenda menyeluruh forum ini.  – DagangNews.com