KUALA LUMPUR 25 Okt - Hampir 4 juta hidangan tengah hari dinikmati hampir 20,000 murid dari 93 sekolah rendah di empat negeri terpilih, iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu melalui Program Makanan Kesihatan (Promak) sejak Januari 2022.
Padiberas Nasional Berhad (Bernas) memaklumkan, ia merupakan program kerjasama strategik sektor korporat dan agensi kerajaan yang mana pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menggerakkan agenda nasional dalam menangani isu malnutrisi dalam kalangan murid sekolah rendah di negara ini.
Katanya, pihaknya turut berganding bahu dengan para guru dan pengusaha kantin bagi memastikan matlamat Promak berjaya dicapai.
"Memandangkan kanak-kanak di peringkat usia awal berada dalam fasa pertumbuhan kritikal dan mereka banyak menghabiskan masa di sekolah, maka program pemakanan di sekolah itu dilihat sebagai inisiatif terbaik untuk memastikan mereka mendapat makanan seimbang bagi memenuhi semua keperluan nutrisi.
"Pemakanan yang betul untuk kumpulan ini adalah penting untuk kesejahteraan mereka masa kini dan di masa hadapan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Menurut kenyataan itu, keberkesanan program itu turut dipantau dan dinilai daripada pelbagai petunjuk seperti ketinggian dan berat murid serta prestasi kehadiran mereka ke sekolah.
Bernas berkata, sepanjang tempoh setahun pelaksanaan Promak, data yang dikumpul daripada Malaysian National Physical Fitness Standard (Segak) untuk pelajar sekolah yang terlibat dengan Promak memperlihatkan impak positif ke atas berat, ketinggian dan kehadiran murid sejak program diperkenalkan.
"Selain tertumpu kepada aspek kesihatan, pendidikan dan pembangunan sosial kanak-kanak, Promak turut membantu mengurangkan perbelanjaan makanan isi rumah dan meningkatkan pendapatan boleh guna khususnya dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Bernas, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, Promak bertujuan memupuk budaya pemakanan sihat dari usia awal.
Katanya, akses kepada makanan yang seimbang dan bernutrisi lengkap di sekolah akan membentuk perkembangan fizikal, mental dan psikologi kanak-kanak seterusnya akan membantu mereka lebih bersedia untuk pembelajaran.
"Sebagai organisasi korporat yang mengutamakan keselamatan makanan dan mementingkan kesejahteraan sosial, Bernas terus mempergiat inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) ke arah merealisasikan agenda pembangunan masyarakat secara amnya serta melahirkan generasi pelapis yang cemerlang," katanya.
Terdahulu, Bernas menyantuni seramai 500 murid dari 24 buah sekolah di Kedah di samping memberi pendedahan tentang pemakanan sihat. Untuk rekod di negeri itu sahaja, Promak mula ditawarkan di 45 buah membabitkan 10,336 murid dari pelbagai daerah. - DagangNews.com