4 langkah tambahan bakal dirangka - PM | DagangNews Skip to main content

4 langkah tambahan bakal dirangka - PM

Tan Sri Muhyiddin Yassin

Oleh MUHAMAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 1 Mac. - Kerajaan akan merangka langkah-langkah tambahan dalam tempoh terdekat untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara.

 

Berucap dalam Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin hari ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah tambahan yang akan dirangka itu mengambil kira situasi yang sedang dialami negara.

 

 

Berikut adalah empat langkah tambahan yang akan dirangka kerajaan dalam tempoh terdekat;

  • Pertama – Menyediakan bantuan secara bersasar kepada kumpulan rentan, terutamanya golongan miskin serta golongan yang mengalami kehilangan pendapatan
  • Kedua – Meningkatkan sokongan kepada perniagaan, khususnya perniagaan yang masih tidak dapat beroperasi dan perniagaan yang sedang dalam proses pembukaan semula pasca PKP
  • Ketiga - Memberi tumpuan kepada sistem penyampaian awam, terutamanya bagi memastikan bantuan sampai kepada semua yang memerlukan, menyegerakan pelaksanaan projek pembangunan serta mengurangkan karenah birokrasi supaya aktiviti ekonomi kembali rancak sehingga ke peringkat akar umbi dan menggalakkan pelaburan baharu dari dalam dan luar negara
  • Keempat – Memberi fokus utama kepada agenda pendigitalan selaras dengan pertumbuhan sumber kekayaan baharu dan transformasi ekonomi negara dalam aktiviti yang berasaskan pengetahuan dan inovasi.

 

 

Dalam ucapan sama, beliau mengakui bahawa ramai rakyat yang mengalami kehilangan pendapatan dan tekanan dalam kalangan usahawan untuk meneruskan perniagaan.

 

"Pada awalnya, semasa wabak COVID-19 mula melanda negara kita, ia merupakan satu perkara baharu yang tidak pernah kita alami sebelumnya.

 

"Setelah setahun berlalu, banyak yang telah kita pelajari. Antaranya, berdasarkan analisa data COVID-19, adalah didapati bahawa 10% daripada lokasi kluster COVID-19 menyumbang kepada lebih daripada 85% kes COVID-19 di negara ini.

 

"Dengan itu, kerajaan akan menggubal strategi mengawal penularan COVID-19 berdasarkan data yang diperolehi. Kerajaan akan mengambil pendekatan yang lebih bersasar dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang lebih ketat di lokasi-lokasi kluster jangkitan," jelas beliau.

 

Aktiviti ekonomi yang akan terus dibuka tertakluk kepada amalan penjarakan sosial serta SOP yang ketat. 

 

Jelasnya, tindakan tegas akan diambil ke atas mereka yang didapati tidak mematuhi SOP bagi memastikan aktiviti ekonomi dan mata pencarian untuk majoriti rakyat dan perniagaan dapat kekal dibuka dan diteruskan.

 

"Walaupun aktiviti ekonomi akan dibuka, kawalan pergerakan masih diperlukan termasuk kawalan sempadan antarabangsa, kawalan pergerakan merentasi negeri dan juga aktiviti sosial dan perniagaan di mana penjarakan sosial tidak dapat diamalkan.

 

"Pembukaan aktiviti seumpama ini hanya dapat dilaksanakan setelah pelaksanaan imunisasi mencapai tahap tertentu dari segi liputan rakyat," ujar beliau lagi. - DagangNews.com