Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 22 Dis. - Usaha mengurangkan kadar kemiskinan negara dilihat berhasil berdasarkan kepada trend penurunan sebanyak 2% pada 2019 berbanding 2016.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Arthur Joseph Kurup berkata, meskipun begitu, masih terdapat golongan miskin dan berpendapatan rendah khususnya daripada isi rumah B40 yang masih perlu dibantu.
Jelasnya, kerajaan mempunyai perancangan untuk meningkatkan pendapatan dan kuasa beli serta kesejahteraan isi rumah B40.
Berikut merupakan pendekatan yang dirancang kerajaan;
1) Menyediakan program peningkatan pendapatan serta peningkatan keupayaan mendapat pekerjaan yang berpendapatan lebih tinggi dengan membina kapasiti dan keupayaan seperti Program Pemerkasaan Ekonomi Bandar dan Program Peningkatan Pendapatan.
2) Menambahbaik akses kepada keperluan asas termasuk pendidikan, kesihatan dan perumahan.
- Bagi perumahan, sebagai contoh Program Perumahan Rakyat Termiskin, Program Bantuan Rumah dan Projek Perumahan Mampu Milik.
3) Menggalakkan keusahawanan dan akses kepada pembiayaan kewangan untuk menjana pendapatan dengan menceburi bidang perniagaan seperti pembiayaan mikro contohnya TEKUN dan program latihan keusahawanan.
4) Meningkatkan sistem perlindungan sosial dengan mewujudkan satu rangka kerja sistem perlindungan sosial yang bersepadu dan komprehensif termasuk Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40).
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr. Nuing Jeluing (PBB) dalam sesi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Nuing meminta beliau menyatakan kesan penyusunan semula pendapatan garis kemiskinan kepada RM2,208 sebulan setiap isi rumah dan langkah-langkah yang diambil bagi mengatasi kemiskinan.
Dengan menggunakan PGK 2019, kadar kemiskinan mutlak adalah 5.6% meliputi 405,441 isi rumah pada tahun 2019 berbanding 7.6% meliputi 525,743 isi rumah pada tahun 2016.
Kadar kemiskinan menunjukkan trend penurunan sebanyak 2% pada tahun 2019 berbanding tahun 2016.
Tambah beliau, kerajaan juga sedang menggubal dasar dan strategi untuk menangani kemiskinan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
"Bagi menangani kemiskinan dan meningkatkan mekanisme penyampaian perkhidmatan di peringkat akar umbi, kerajaan akan memperkukuh pendekatan dari bawah ke atas dalam kalangan pemegang taruh.
"Justeru itu, pendekatan ini akan dipertingkat dengan penglibatan masyarakat dan organisasi berasaskan komuniti.
"Pihak berkuasa juga akan diperkasa untuk mengenal pasti dan mengurangkan poket kemiskinan pada peringkat komuniti," ujarnya lagi. - DagangNews.com