4 syarikat bina pusat data berskala hiper | DagangNews Skip to main content

4 syarikat bina pusat data berskala hiper

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 19 Feb. - Telekom Malaysia Bhd. (TM) adalah antara 4 syarikat yang diberi kebenaran bersyarat  untuk membina dan menguruskan pusat data berskala hiper dan perkhidmatan Cloud Service Provider (CSP).

 

Kerajaan juga memberi kebenaran bersyarat ini kepada 3 syarikat teknologi global iaitu Microsoft, Google dan Amazon. 

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, antara RM12 billion hingga RM15 billion akan dilaburkan oleh syarikat-syarikat CSP atau penyedia perkhidmatan awan dalam tempoh 5 tahun akan datang.  

 

"Pusat data berskala hiper dan perkhidmatan awan hibrid juga akan diwujudkan untuk menambah ruang penyimpanan data, mengurangkan kos operasi dan meningkatkan kecekapan analisis," katanya ketika melancarkan inisiatif MyDigital secara maya pagi tadi. 

 

Inisiatif MyDigital yang dilaksanakan merangkumi Pelan Strategik Digital Ekonomi Malaysia terdiri daripada 3 fasa dijangka lengkap menjelang 2030. 

 

Menurut beliau, kerajaan juga bercadang melantik 3 syarikat teknologi tempatan sebagai Manage Service Provider (MSP) untuk bekerjasama dengan CSP dalam menguruskan perkhidmatan ini kepada sektor awam.

 

Langkah ini, katanya, seiring dengan hasrat untuk memperkasakan keupayaan syarikat tempatan. 

 

Syarikat tersebut ialah Enfrasys Solution Sdn.Bhd., Prestariang Systems Sdn. Bhd. dan Cloud Connect Sdn. Bhd.

 

Muhyiddin berkata, sebagai langkah untuk memperkasakan perkhidmatan pengkomputeran awan sektor awam, kerajaan menerusi strategi Cloud First, menyasarkan migrasi 80% data awam ke sistem awan hibrid ini menjelang akhir 2022. 

 

Jelasnya, selain pengumpulan dan pengurusan data secara lebih berkesan dan lancar, strategi ini dapat mengurangkan kos kerajaan dalam pengurusan teknologi maklumat dalam jangka panjang. 

 

Perkhidmatan cloud juga akan membolehkan aplikasi Big Data, kecerdasan pintar (AI), internet segala-galanya (IoT) dan lain-lain digunakan untuk memantapkan perkhidmatan kerajaan, tambah beliau. - DagangNews.com