40 daripada 100 rakyat Malaysia tidak dilindungi skim persaraan - KWSP | DagangNews Skip to main content

40 daripada 100 rakyat Malaysia tidak dilindungi skim persaraan - KWSP

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Sept - Di Malaysia, 60 daripada setiap 100 orang dilindungi oleh skim persaraan rasmi. Daripada jumlah ini, sekitar 50 di bawah KWSP dan kira-kira 10 dilindungi oleh skim pencen perkhidmatan awam. 

 

40 orang selebihnya tidak dijamin dengan perlindungan persaraan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Ahmad Zulqarnain Onn. 

 

“Mereka tidak dilindungi oleh skim persaraan, kerana secara amnya mereka bekerja di sektor tidak formal atau merupakan pekerja asing atau pekerja kontrak,” kata beliau dalam wawancara di sebuah stesen TV.

 

Ahmad Zulqarnain turut berkata, populasi Malaysia semakin menua, ia berada pada 7% (daripada penduduk berumur 65 tahun ke atas) dan menjelang 2043, negara akan berusia sebanyak 14%.

 

 

"Dari masa ke masa, kami menyasarkan untuk meningkatkan liputan di Malaysia secara sukarela dan akhirnya, melalui perundangan. 

 

“Ini penting, kerana kami sepatutnya menyasarkan liputan 80% hingga 90% sebagai sebuah negara, dan bukannya 60%, " ujar beliau.

 

Bagi menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mendaftar dan membuka akaun KWSP, Ahmad Zulqarnain berkata, syarikat itu menawarkan pelbagai program jangkauan.

 

Ini termasuk membenarkan sumbangan sukarela, menjalankan inisiatif celik kewangan dan meningkatkan aplikasi i-Akaun bagi pengalaman pengguna yang lebih baik.

 

"Kami membenarkan mereka yang berumur seawal 14 tahun untuk membuka akaun dengan KWSP.

 

“Jadi kami melihat ibu bapa mula menyimpan untuk akaun persaraan anak mereka juga, yang sememangnya menarik dan ini telah berkembang sebagai sebahagian daripada portfolio kami," ulasnya.

 

Beliau berkata kira-kira 12% daripada caruman bulanan kini datang daripada saluran sukarela, berbanding 100% sebelum ini daripada caruman wajib.

 

Ahmad Zulqarnain berkata 12% itu juga meningkat tahun ke tahun, menunjukkan lebih ramai orang mula mencarum secara sukarela kepada KWSP.

 

Beliau juga berkata, peruntukan Akaun Persaraan meningkat daripada 70% kepada 75%. - DagangNews.com