KUALA LUMPUR 25 Nov - Pengeluar kabinet dapur Signature International Bhd menyaksikan keuntungan bersihnya meningkat lebih dua kali ganda kepada RM28.3 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2024 (3QFY24) berbanding RM14.1 juta setahun sebelumnya dipacu margin keuntungan yang lebih tinggi.
Hasil melonjak 22.1% kepada RM224.6 juta daripada RM183.9 juta setahun lalu, disokong segmen kerja kemasan dalaman, diikuti sumbangan daripada bahagian dapur dan sistem almari pakaian di bawah jenama Corten dan Signature.
"Segmen dapur dan sistem almari pakaian mencatatkan pendapatan RM48.6 juta (di bawah jenama Signature) dan RM71.4 juta (Corten) pada suku semasa,” kata kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Pendapatan sesaham kumpulan melonjak kepada 4.5 sen untuk 3QFY24, berbanding 2.2 sen untuk 3QFY23.
Kumpulan itu juga mengisytiharkan dividen tiga sen bagi suku itu, perlu dibayar pada 19 Disember 2024.
Bagi sembilan bulan terkumpul berakhir 30 September 2024 (9MFY24), pengeluar kabinet dapur itu mencatatkan keuntungan bersih RM44 juta, meningkat daripada RM36.9 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu, manakala hasil meningkat kepada RM578.5 juta daripada RM450.1 juta untuk 9MFY23.
Mengenai prospek, kumpulan itu berkata, ia kekal optimis berikutan pengambilalihan Crown Furniture Trading Sdn Bhd, pemilik Crownlivin baru-baru ini.
Selesai sepenuhnya pada 1 November 2024, pengambilalihan itu menandakan satu langkah dalam mengembangkan portfolio produk kumpulan.
Namun begitu, buku pesanan kumpulan itu kekal kukuh setakat 30 September 2024, dengan RM160 juta untuk sistem dapur dan almari pakaiannya (di bawah jenama Signature), RM649 juta untuk sistem dapur dan almari pakaian (Corten), dan RM301 juta untuk kerja-kerja kemasan dalaman. - DagangNews.com