40 mohon lesen perbankan digital setakat ini - BNM | DagangNews Skip to main content

40 mohon lesen perbankan digital setakat ini - BNM

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 


KUALA LUMPUR 11 Feb. - Bank Negara Malaysia (BNM) setakat ini menerima 40 permohonan daripada pihak yang berminat untuk mendapatkan lesen perbankan digital.

 

Tempoh untuk mendapatkan lesen bagi menjalankan perniagaan perbankan digital atau perniagaan perbankan digital secara Islam adalah sehingga 30 Jun ini.

 

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, dalam kertas dasar sebelum ini, BNM ada menyatakan bahawa bank digital ini dijangka memperkenalkan teknologi inovatif yang boleh menyumbang kepada kesejahteraan kewangan rakyat.

 

"Ini memandangkan ia khusus untuk membantu kelompok pelanggan yang tidak mendapat perhatian atau pertimbangan dalam perkhidmatan institusi perbankan," katanya. 

 

Beliau berkata demikian ketika membentangkan prestasi ekonomi suku keempat 2020 hari ini secara maya. 

 

Tambah beliau lagi, pihaknya dijangka mengumumkan pemberian lesen ini pada Mac tahun hadapan.

 

"Kami juga telah nyatakan sebelum ini, bank akan membuat pertimbangan untuk memberi sehingga 5 lesen perniagaan bagi bank digital ini bagi pemohon yang layak," ujar beliau. 

 

Pada 31 Disember lalu, BNM mengeluarkan Dokumen Dasar Rangka Kerja Pelesenan Bank Digital (Dokumen Dasar) setelah berakhirnya tempoh maklum balas awam selama 6 bulan. 

 

Rangka kerja pelesenan bank digital bertujuan untuk membolehkan penggunaan teknologi inovatif bagi meningkatkan kesejahteraan kewangan individu dan perniagaan serta menyokong pertumbuhan yang lestari. 

 

Malah, ia juga bertujuan memperluas akses secara bermakna dan menggalakkan penggunaan penyelesaian kewangan yang sesuai secara bertanggungjawab kepada segmen yang tercicir atau kurang mendapat kemudahan perkhidmatan kewangan. - DagangNews.com