44 majikan sektor pembuatan tutup operasi di Selangor antara 2020 hingga 2021 | DagangNews Skip to main content

44 majikan sektor pembuatan tutup operasi di Selangor antara 2020 hingga 2021

SHAH ALAM 17 Mac - Sejumlah 44 majikan sektor pembuatan menutup operasi masing-masing di Selangor pada 2020 hingga 2021 dan menyebabkan pemberhentian seramai 835 pekerja tempatan serta 119 orang pekerja asing.

 

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan & Perindustrian dan Industri Kecil Dan Sederhana (IKS) negeri, Datuk Teng Chang Khim berkata, penutupan operasi syarikat itu tidak memberikan kesan kewangan secara langsung kepada ekonomi negeri.

 

"Ini kerana syarikat berkenaan hanya membayar cukai tanah dan cukai taksiran pada kadar yang kecil kepada pihak kerajaan negeri," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

 

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Mazwan Johar (PH-Sungai Ramal) mengenai kesan ekonomi akibat COVID-19 termasuk bilangan pelabur luar dan dalam negeri yang menutup operasi sejak bermula pandemik.

 

Chang Khim berkata, susulan rakyat Selangor diberhentikan kerja akibat pandemik, kerajaan negeri mengambil tindakan melaksanakan program Karnival Kerjaya - Jelajah Selangor Bekerja Tahun 2021 bagi membantu rakyat mendapatkan kerja semula.

 

"Pada 2021 sebanyak enam siri Karnival Kerjaya - Selangor Bekerja dilaksanakan di lokasi berbeza. Penganjuran program ini adalah platform yang menyediakan ruang kepada masyarakat mendapatkan pekerjaan, sekali gus mengatasi kadar pengangguran di Selangor selaras permintaan tinggi dan sambutan menggalakkan berikutan kadar kehilangan pekerjaan disebabkan pandemik COVID-19," katanya, lapor Berita Harian.

 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru negeri Ng Sze Han berkata, sejumlah 60,543 tan sampah pasca banjir diterima Worldwide Holdings Berhad (WHB) bermula 21 Disember 2021 hingga 15 Januari lalu.

 

Beliau berkata, semua sisa pasca banjir itu diletakkan di enam tapak iaitu Tapak Pelupusan Sanitari Jeram (32,267 tan); Tapak Pelupusan Sanitari Tanjung Dua Belas (14,715 tan); Tapak Pelupusan Sanitari Panchang Bedena (86 tan); Tapak Pelupusan Sisa Lengai Dengkil (12,043 tan); Tapak Pelupusan Sisa Lengai Kuang (849 tan) dan Tapak Pelupusan Sisa Lengai Sungai Tua (583 tan).

 

"Semua sisa pasca banjir diterima pihak WHB akan diasingkan terutamanya sisa e-waste untuk dihantar ke pusat pelupusan e-waste yang sudah ditetapkan pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.

 

"Kaedah pelupusan kambus tanah secara selamat digunakan, sisa pasca banjir akan dilupuskan di dalam 'cell' penerimaan sisa pepejal (yang dilapisi sistem liner) dan kemudian akan diratakan serta dimampatkan sebelum ditutup dengan selamat," katanya menjawab pertanyaan Haniza Mohamed Talha (PPBM-Lembah Jaya) mengenai pengurusan sisa pepejal pasca banjir. - DagangNews.com