446,000 nama OKU diserah untuk vaksinasi | DagangNews Skip to main content

446,000 nama OKU diserah untuk vaksinasi

Rina Mohd Harun

Rina Mohd Harun

 

KUALA LUMPUR 4 Jun - Sebanyak 446,000 nama dan maklumat asas golongan OKU yang didaftarkan melalui Sistem Pengurusan Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU) telah diserahkan kepada pihak berkaitan bagi tujuan vaksinasi.

 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, usaha tersebut dibuat bagi memastikan individu dalam kumpulan sasar itu tidak akan diketepikan untuk mendapatkan vaksin.

 

Bagi tujuan berkenaan, Rina memberitahu, Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) secara pandu lalu akan dibuka untuk mempercepatkan kadar vaksinasi kumpulan tersebut.

 

"PPV secara pandu lalu ini diharap dapat beroperasi minggu hadapan di Lembah Klang dengan kerjasama sektor swasta melalui Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

 

"Pandu lalu ini adalah alternatif untuk mempermudah dan mempercepatkan pelaksanaan vaksinasi golongan kurang upaya," katanya seperti dilapor Bernama.

 

Beliau berkata demikian ketika meninjau pelaksanaan program vaksinasi OKU di Kompleks Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) hari ini.

 

MAB turut menubuhkan pusat panggilan khas di talian 03-22722677 bagi memudahkan pendaftaran golongan berkenaan.

 

Melalui usaha berkenaan, MAB berjaya menerima 1,900 permohonan.

 

Dalam tinjauan sama, Rina turut berharap PPV di MAB dapat menyediakan kira-kira 200 dos vaksin setiap hari dengan penglibatan 20 sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu petugas kesihatan. - DagangNews.com