4.8 juta mohon i-Sinar KWSP | DagangNews Skip to main content

4.8 juta mohon i-Sinar KWSP

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja telah menerima 4.8 juta permohonan di bawah Kategori 1 bagi i-Sinar, setakat semalam.

 

Daripada jumlah itu, sebanyak 3.18 juta permohonan adalah bernilai RM25.3 bilion. 

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz berkata, ahli-ahli yang lulus mula menerima jumlah keseluruhan RM13 bilion pada Januari ini manakala baki permohonan lain sedang diproses oleh KWSP.

 

"Kerajaan juga telah meminta KWSP memudahkan proses bayaran interim ini, yang akan dibuat mulai 26
Januari ini," katanya dalam laporan Penjana hari ini.

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 18 Januari lalu, melalui Permai mengumumkan penambahbaikan kemudahan i-Sinar, terutama bagi mereka yang menghadapi cabaran akibat PKP dan bencana banjir. 

 

KWSP akan membuat bayaran interim sehingga RM1,000 bagi pemohon i-Sinar Kategori 2. 

 

Proses pengeluaran i-Sinar Kategori 2 juga dipermudahkan di mana ahli hanya perlu mengisytiharkan secara kendiri bahawa mereka memenuhi kriteria yang ditetapkan dan dokumen sokongan boleh dihantar secara dalam talian dan semakan akan dibuat kemudian. - DagangNews.com