5 petunjuk pertumbuhan 2021 - BNM | DagangNews Skip to main content

5 petunjuk pertumbuhan 2021 - BNM

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 11 Feb. - Di sebalik pertumbuhan negatif yang dicatatkan Malaysia bagi 2020 ekoran pandemik COVID-19, Bank Negara Malaysia (BNM) optimis negara akan kembali mencatat pertumbuhan tahun ini. 

 

Keyakinan ini berdasarkan 5 indikator yang digariskan Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus ketika sidang akhbar pembentangan prestasi ekonomi suku keempat 2020 pagi ini. 

 

 

Prospek permintaan luar

Permintaan luar adalah kukuh berbanding tahun lepas dengan perkembangan positif disokong pelancaran vaksin COVID-19. Dengan pertumbuhan ekonomi global berada dalam landasan pemulihan, prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan dalam sektor pembuatan membolehkan pengeksport memanfaatkan permintaan yang pesat

 

 

Impak PKP 2.0

PKP yang dilaksanakan ketika ini hanya memberi impak yang kecil berbanding PKP tahun lalu terutama apabila semua industri terutama pembuatan dan pembinaan dibenarkan beroperasi. Ini akan memastikan kelangsungan kepada operasi perniagaan dan menyokong pendapatan isi rumah yang terjejas sebelum ini. Malah, mereka juga lebih bersedia menghadapi PKP kali kedua

 

 

Platform digital

Ia juga menyaksikan pengguna beralih kepada platform digital dengan kebanyakan perniagaan menggunakan e-dagang. Dalam masa sama, perniagaan dan isi rumah juga sudah membiasakan diri dengan SOP yang dikuatkuasakan mejadikan ia lebih mudah untuk menguruskan PKP

 

 

Sokongan dasar

Sokongan dasar kekal akomodatif. Ini termasuk sokongan fiskal menerusi Belanjawan 2021, Penjana dan Permai. Dasar yang terus menyokongan perniagaan dan isi rumah ini juga termasuklah bantuan bayaran bersasar dan subsidi upah

 

 

Vaksin COVID-19

Pelancaran vaksin COVID-19 pada bulan lalu juga juga membuktikan usaha kerajaan ke arah menyelesaikan masalah penularan wabak ini. Kesemua peringkat komuniti dan masayarakat perlu memainkan peranan dalam memerangi wabak ini dan secara tidak langsung membantu kembali membina pertumbuhan ekonomi.

 

Kementerian Kewangan setakat ini mengekalkan pertumbuhan KDNK bagi 2021 antara 6.5 hingga 7.5%. 

 

Bagaimanapun, Nor Shamsiah berkata, bank pusat masih memantau situasi semasa ekonomi untuk melihat sama ada perlu menyemak semula unjuran berkenaan dengan mengambil kira beberapa petunjuk dan perkembangan baharu yang berlaku ketika ini. 

 

Pada sidang akhbar itu juga, beliau diminta mengulas mengenai prospek pelaburan dan kemerosotan pelaburan langsung asing (FDI) pada 2020.

 

Dalam hal ini, beliau berkata, BNM menjangkakan persekitaran perniagaan global akan bertambahbaik dan aktiviti pelaburan turut pulih. 

 

Katanya, ekonomi global dijangka kembali seperti biasa manakala pelaburan berasaskan eksport seperti elektrik dan elektronik, pembuatan, pengangkutan dan logistik  akan kembali berfungsi. 

 

"Keadaan ini juga disokong dgn langkah pakej rangsangan kerajaan dan pelaburan. Dalam hal ini, Malaysia perlu mengambil langkah-langkah pembaharuan pelaburan bagi memastikan negara terus kekal sebagai destinasi pelaburan antarabangsa," katanya. 

 

Beliau memberitahu, pada April lalu, BNM telah mengeluarkan artikel mengenai pembaharuan kritikal yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan antaranya mempunyai sasaran yang jelas dan hala tuju dasar yang strategik, menyelaraskan pentadbiran dan pengurusan serta memperkukuhkan penyelarasan di semua agensi promosi pelaburan. 

 

Mengenai nilai ringgit, menurut beliau, pada suku keempat 2020, ringgit menambah nilai sebanyak 3.6% berbanding dolar AS dipacu terutamanya oleh aliran masuk portfolio bukan pemastautin apabila kesanggupan pelabur mengambil risiko terus meningkat. 

 

Sentimen pelabur yang positif pada suku itu didorong oleh berita kejayaan ujian penggunaan vaksin dan program pemvaksinan yang mula dilaksanakan di negara-negara utama, serta halu tuju dasar di AS yang semakin jelas susulan keputusan pilihan raya presiden AS. 

 

"Secara kolektif, faktor-faktor ini membentuk asas prospek pelaburan yang lebih positif untuk pemulihan krisis kesihatan global, lantas memperkukuh jangkaan kegiatan ekonomi akhirnya akan kembali normal," jelasnya.

 

Sejak 1 Januari hingga 8 Februari 2021, ringgit menurun nilai sebanyak 1.2% berbanding dolar AS. 

 

Hal ini adalah sejajar dengan penurunan nilai mata wang utama dan serantau secara keseluruhan, berikutan pengukuhan dolar AS dalam keadaan prospek pemulihan ekonomi AS bertambah baik. 

 

Kebimbangan mengenai peningkatan kes jangkitan COVID-19 dan kesannya terhadap kegiatan ekonomi dalam negeri juga mempengaruhi sentimen pelabur. 

 

Pelaburan portfolio mencatatkan aliran keluar bersih yang lebih kecil sebanyak RM6.9 bilion pada suku keempat berbanding -RM23.1 bilion pada suku ketiga manakala pelaburan langsung asing (FDI) bersih mencatatkan aliran masuk sebanyak RM6.1 bilion (suku ketiga -RM800 juta). 

 

"Bagi tempoh jangka pendek, masih wujud risiko bahawa volatiliti kadar pertukaran akan meningkat disebabkan oleh ketidakpastian yang berlarutan berhubung dengan momentum pemulihan ekonomi global yang akan terus mempengaruhi sentimen pelabur," katanya. - DagangNews.com