Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 27 Jan. – Peralihan dan pembentukan strategi transformasi perniagaan wajar diberikan perhatian bagi merealisasikan hasrat Malaysia mencapai unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga RM3.4 trilion menjelang 2030.
Ketua Negara 3M Malaysia, GT Lim berkata, pandemik COVID-19 menjadi bukti kepada penyesuaian pantas Malaysia terhadap teknologi, di mana melibatkan bidang kesihatan, pendidikan, dan sektor lain untuk berdepan krisis berkenaan.
“Ketika kita meneruskan perjalanan menuju pertumbuhan ekonomi yang lebih jauh, trend yang kita perhatikan sekarang akan memainkan peranan utama dalam bagaimana perniagaan berubah sepanjang satu dekad,” jelasnya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, 3M menerusi kenyataan sama menyenaraikan lima trend yang wajar diberikan perhatian oleh perniagaan di Malaysia menuju tahun 2030 dan seterusnya.
1) Perkembangan teknologi
Menurut 3M, teknologi menjadi kayu ukur kepada tahap kemajuan dan kuasa di mana penularan COVID-19 telah memacu penggunaan serta perkembangan teknologi yang pantas.
Organisasi itu menjangkakan dengan infrastruktur 5G yang kian meningkat selain teknologi utama semakin bertambah baik, dunia bakal berubah dengan lebih pantas menjelang lima tahun akan datang.
“Ketika infrastruktur ini dibina, 5G dan artificial intelligence (AI) akan mula menjadi amalan operasi standard. Infrastruktur 5G juga akan melihat pengembangan dalam e-dagang selain runcit akan menyaksikan perubahan berterusan yang terus meningkat sementara industri ini berkembang menjadi model saluran omni.
“Bagi syarikat, momentum itu mendorong keperluan untuk mempersiapkan peraturan secara dalaman dan mencari peluang untuk menunjukkan kepemimpinan yang beretika,” jelas 3M.
2) Perubahan iklim dan sumber
Bagi 3M, keprihatinan terhadap perubahan iklim akan berterusan memandangkan langkah-langkah sebelum ini untuk mengurangkan pelepasan karbon belum cukup kuat untuk mengurangkan kenaikan purata suhu global yang meningkat.
“Disebabkan masyarakat dan industri terus melihat perlunya grid elektrik yang tahan lasak untuk melindungi daripada berlakunya bencana alam dan kejadian cuaca yang bahaya, model penjanaan dan penyimpanan yang diedarkan akan mula bersaing lebih sengit dengan model hub-and-spoke tradisional. Sistem ini dijangka mengalami pertumbuhan pesat dalam tempoh lima tahun akan datang,” tambah 3M.
3) Peralihan demografik dan perubahan sosial
3M percaya populasi bandar global yang dijangka melebihi 5 bilion pada tahun 2030 bakal mendorong kepada perbandaran yang akan terus membentuk ekonomi dan masyarakat.
Ujar firma itu, urbanisasi berpotensi menjadi kekuatan transformasi positif - dirancang dan dikelola dengan betul, dapat meningkatkan peluang pekerjaan, kecekapan tenaga, kesihatan masyarakat, pendidikan dan kualiti hidup.
“Namun, dengan perbandaran yang pesat, kita akan melihat cabaran dalam mencari infrastruktur yang betul – baik dari segi fizikal mahupun teknologi - dan perkhidmatan untuk memenuhi permintaan penduduk bandar yang semakin meningkat.
"Pekerja di negara-negara dengan jumlah belia yang besar akan terus bersaing untuk mencari dan mengekalkan pekerjaan yang berkualiti. Walaupun ekonomi gig diunjurkan berkembang, namun banyak jangkaan masa depan akan ditentukan oleh impak daripada krisis COVID-19," ujar 3M lanjut.
4) Mengimbangi semula dunia
Dunia sedang memasuki dekad baharu perubahan geopolitik dan ekonomi yang pasti akan mengimbangi semula mereka yang berpengaruh, menurut 3M.
“Kemelesetan ekonomi akan memberi kesan mendalam kepada pelaburan strategik dalam tempoh lima tahun akan datang. Syarikat dan negara yang dapat menangani kemerosotan ini dengan cepat dan strategik akan berkembang maju, sama ada dalam rantai bekalan, infrastruktur atau pelaburan strategik lainnya.
“Berikutan terdapat gangguan bekalan global disebabkan oleh COVID-19, syarikat akan mempercepat langkah mereka untuk mempelbagaikan rantaian bekalan dalam menyesuaikan diri dengan kepentingan nasional dan mempertahankan daya maju ketika berdepan krisis pada masa depan,” tambah 3M.
5) Muncul individu berpengaruh
‘Kelahiran’ individu yang berpengaruh akan mengubah ekonomi dan masyarakat, ramal 3M.
“Permintaan keperibadian dan perubahan jangkaan korporat telah memberikan tekanan yang luar biasa kepada syarikat untuk menyesuaikan diri, menyebabkan banyak daripada mereka rentan terhadap perubahan teknologi baharu dan model perniagaan.
“Personalisasi akan menjadi perbezaan utama produk dan perkhidmatan dalam tempoh lima tahun akan datang. Kesihatan diri akan menjadi salah satu kategori yang paling diminati oleh pengguna.
“Pada lima tahun akan datang, tumpuan akan beralih dari perkhidmatan rawatan kesihatan yang reaktif ke perkhidmatan pencegahan proaktif dan teleperubatan dijangka menjadi alat utama hubungan dengan sistem rawatan kesihatan,” jelas 3M.
Dalam tempoh 10 tahun akan datang, produk augmented reality (AR) bakal dilancarkan dengan potensi untuk menjadi seperti mana-mana telefon bimbit hari ini dan dengan impak yang besar terhadap bagaimana pengguna akan membeli-belah, bekerja dan berinteraksi dengan orang lain, ramal 3M lagi.
Malah, kata 3M, platform digital akan terus menjadi megafon buat pengguna, syarikat dan kerajaan.
“Dengan digitalisasi yang semakin berkembang dan peningkatan risiko salah maklumat, etika akan menjadi masalah utama dalam sedekad berikutnya, dan para pakar meramalkan munculnya CEO baharu - Ketua Pegawai Etika,” tambah 3M. – DagangNews.com