50 graduan raih manfaat program ‘Pembangunan Kemahiran Insaniah’ percuma oleh PROLINTAS | DagangNews Skip to main content

50 graduan raih manfaat program ‘Pembangunan Kemahiran Insaniah’ percuma oleh PROLINTAS

PROLINTAS

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Seramai 50 golongan muda lepasan universiti mendapat manfaat daripada program ‘Pembangunan Kemahiran Insaniah’ yang dianjurkan secara percuma oleh kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS).

 

Program yang dijalankan selama sebulan secara dalam talian itu telah melabuhkan tirai semalam.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PROLINTAS, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, cetusan idea untuk menganjurkan program sebegitu adalah berikutan pemerhatian sebagai majikan yang melihat kepada kurangnya daya saing pekerja yang mempunyai kemahiran insaniah (soft skill) termasuk kemahiran berkomunikasi.

 

"Kemahiran komunikasi yang baik, keyakinan diri yang tinggi dan pemikiran kritis merupakan gabungan elemen yang sangat penting bagi menjadikan seseorang lepasan universiti itu lebih menonjol dan berkualiti. 

 

"Dengan adanya ciri-ciri tersebut, ianya menyumbang kepada berkebolehpasaran yang tinggi kepada lepasan universiti itu sendiri,” jelas beliau dalam satu kenyataan.

 

.

 

Program tersebut juga merupakan antara siri program pembangunan dan latihan insaniah yang dianjurkan oleh PROLINTAS di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, dalam usaha berkenaan pihaknya telah bekerjasama dengan syarikat Enfiniti Academy yang merupakan antara syarikat produksi seni persembahan terbaik di Malaysia yang  diterajui oleh Tiara Jacquelina Abdullah.

 

Pihaknya percaya dengan pengalaman luas Enfiniti Academy yang telah melahirkan ramai bakat besar dalam industri seni tanah air mampu memberikan bimbingan dan pendidikan yang berharga kepada peserta program. 

 

Sementara itu, Pengasas The Efiniti Academy, Tiara Jacquelina berkata, program bersama PROLINTAS itu merupakan satu amanah besar yang harus dilaksanakan sebaik mungkin.

 

“Kami percaya menerusi pendekatan seni persembahan, ianya boleh meningkatkan tahap keyakinan anak muda untuk berinteraksi serta mengasah kreativiti mereka untuk menyelesaikan masalah secara kritis.

 

"Program yang diketuai oleh penggiat seni terkenal iaitu Joanna Bessey ini secara tidak langsung menyumbangkan kepada pemerkasaan jati diri peserta untuk berhadapan dengan situasi pekerjaan sebenar,” katanya lagi.

 

Hingga kini, PROLINTAS terlibat secara langsung dalam membantu lebih 200 orang anak-anak muda dalam persediaan memasuki dunia pekerjaan. - DagangNews.com