53 Ahli Parlimen Amanah & DAP sokong Anwar | DagangNews Skip to main content

53 Ahli Parlimen Amanah & DAP sokong Anwar

Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Seramai 53 Ahli Parlimen daripada parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP akan memberi sokongan kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baharu.

Jumlah tersebut adalah hasil gabungan 11 orang Ahli Parlimen Amanah dan 42 Ahli Parlimen DAP.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, kesemua 11 Ahli Parlimen Amanah memberi sokongan penuh kepada Anwar seperti yang diputuskan dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan sebelum ini.

"Seperti yang telah diputuskan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan sebelum ini, Parti AMANAH mengesahkan bahawa semua 11 orang Ahli Parlimen Parti Amanah Negara menyokong sepenuhnya kepimpinan Datuk Seri Anwar sebagai Pengerusi Pakatan Harapan.

"Sokongan itu juga memberi kepercayaan kepada beliau untuk membentuk kerajaan baharu,” katanya lagi dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataan berbeza berkata, seramai 42 ahli Parlimen dari parti itu menyokong Anwar yang juga selaras dengan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan.

“Kami mengambil maklum pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim tadi bahawa beliau telah mempunyai sokongan Ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

“Selaras dengan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan, 42 Ahli Parlimen DAP akan memberikan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya beliau cukup bilangan untuk membentuk Kerajaan,” katanya. - DagangNews.com