58% golongan muda ingin kurangkan masa yang dihabiskan dalam talian | DagangNews Skip to main content

58% golongan muda ingin kurangkan masa yang dihabiskan dalam talian

DHAHRAN, Arab Saudi 3 Feb /PRNewswire/ – Sebuah penyelidikan antarabangsa mendapati dua pertiga daripada golongan muda (berusia antara 18 hingga 24 tahun atau 58%) ingin mengurangkan masa yang dihabiskan dalam talian.

 

Kaji selidik kesejahteraan digital kelolaan firma Sync telah menerbitkan kertas putih yang meneroka perkembangan global dalam tabiat internet dan media sosial.

 

Program ini mengutamakan penyelidikan untuk memahami kesan penggunaan berlebihan terhadap golongan muda – 58% daripada mereka mendakwa bahawa mereka ingin mengurangkan masa dalam talian.

 

Kertas putih Sync yang pertama bertajuk Global Digital Wellbeing Report 2021 (Laporan Kesejahteraan Digital Global 2021), menggambarkan betapa media baharu telah berakar umbi dalam tabiat komunikasi golongan muda, terutamanya disebabkan oleh pandemik COVID-19.

 

Antara dapatan kaji selidik itu ialah:

  • Dua pertiga daripada responden daripada Generasi Z (58%) mendakwa telah menghabiskan lebih banyak masa dalam talian daripada yang mereka mahukan, menonjolkan potensi kesan buruk terhadap kesihatan fizikal dan mental.
  • Lebih seorang daripada dua orang anak muda (54%) mengatakan bahawa teknologi dalam kehidupan mereka telah mengganggu mereka dalam melakukan tugasan harian.
  • Sebahagian besar (69%) daripada mereka yang berusia antara 18 hingga 24 tahun mengatakan mereka lebih banyak menggunakan aplikasi pemesejan sekarang berbanding pada masa prapandemik, yang boleh menghalang mereka kembali kepada hubungan secara langsung apabila kesan pandemik berkurangan

 

Pengarah Sync, Abdullah Al-Rashid berkata, penyelidikan Sync secara kerjasama dengan ASDA'A BCW dan PSB Insights membuktikan satu daripada percanggahan terbesar dalam masyarakat moden: manfaat dan potensi kesan buruk akibat pergantungan kita yang semakin meningkat terhadap media sosial.

 

Menurutnya, generasi yang membesar dengan menggunakan teknologi ini merupakan generasi yang paling terjejas, yang mungkin memberi kesan terhadap masa depan manusia yang masih belum diketahui.

 

 

sync

 

 

‘’Bagi membantu menangani fenomena ini, kami bekerjasama dengan universiti terkemuka dalam membangunkan penyelesaian demi mempromosikan kesejahteraan digital golongan muda," katanya.

 

Dr. Mark Griffiths, Profesor Terkenal dalam bidang Tingkah Laku Ketagihan di Universiti Nottingham Trent, UK berkata: "Laporan terkini daripada Sync menonjolkan kedua-dua kebaikan dan keburukan peningkatan masa yang dihabiskan dalam talian di seluruh dunia.

 

‘’Walaupun perkara positif melebihi yang negatif, terutamanya yang berkaitan dengan ketersambungan sosial, laporan itu menyerlahkan sifat teknologi baharu yang berpotensi untuk mengganggu dan cara penggunaan teknologi yang boleh menjejaskan masa aktiviti penting lain termasuk tugasan pendidikan dan pekerjaan.

 

‘’Saya telah mengkaji 'ketagihan teknologi' selama 30 tahun dan walaupun laporan tersebut tidak mengkaji ketagihan teknologi baharu daripada perspektif klinikal, ia telah membuktikan bahawa teknologi dalam talian boleh menyusahkan golongan minoriti, meskipun ia bukan pada tahap keadaan yang didiagnosis secara klinikal," ujarnya.

 

Dr. Griffiths berkata, laporan ini memberikan persepsi tentang penggunaan teknologi yang sangat menarik dengan sebahagian besar daripada responden berfikir bahawa ketagihan dalam talian merupakan keadaan perubatan dan beberapa jenis teknologi – seperti telefon pintar – direka untuk menjadi ketagihan, termasuk dalam kalangan individu yang lebih berusia.

 

‘’Sebagai seorang penyelidik, saya turut berasa gembira kerana melihat lebih 40% daripada responden percaya bahawa kerajaan perlu membiayai kajian yang memberi tumpuan kepada ketagihan teknologi dan sebahagian besar daripada mereka percaya bahawa lebih banyak sumber diperlukan untuk merawat ketagihan tersebut.

 

‘’Tiga perempat daripada responden berpendapat bahawa kerajaan mereka sendiri perlu melakukan lebih banyak lagi untuk menyediakan penjagaan yang berkualiti tinggi dengan harga yang berpatutan bagi ketagihan dalam talian.

 

‘’Data seperti ini menunjukkan bahawa ketagihan dalam talian kini telah semakin meningkatkan kesedaran awam," katanya.

 

 

Dr. Mark Griffiths
                                                                                     Dr. Mark Griffiths

 

 

Susulan laporan awal ini, Sync sedang meneroka secara proaktif tentang kesan penggunaan internet dan media sosial yang berlebihan terhadap golongan muda. Ini termasuk kerjasama seterusnya dengan Universiti Milano-Bicocca.

 

Kerjasama Sync dengan Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Digital di Universiti Milano-Bicocca akan menggunakan pendekatan baharu yang holistik untuk mengkaji hubungan pelajar kolej dengan telefon pintar mereka, termasuk kesan terhadap penumpuan dan kerisauan dalam konteks sosial yang berbeza.

 

Pengarah Pusat tersebut, Marco Gui berkata, setiap pelajar universiti hari ini memiliki telefon pintar yang memberikan ketersambungan, yang hanya boleh diimpikan oleh generasi terdahulu.

 

‘’Namun, apakah akibatnya? Kami berterima kasih atas sokongan Sync terhadap metodologi baharu kami dalam menyelidik kesan yang berpotensi memberi manfaat dan mudarat akibat berada dalam keadaan tersambung secara berterusan," katanya.

 

 

Universiti Milano-Bicocca
                                                                                    Universiti Milano-Bicocca

 

 

Sidang kemuncak kesejahteraan digital Sync yang pertama ini akan diadakan pada 29-30 Mac 2022 dengan menghimpunkan pemimpin pemikiran global, institusi, pempengaruh dan orang awam untuk meningkatkan kesedaran tentang kebimbangan terhadap kesejahteraan digital serta membangunkan idea baharu untuk melindungi para pengguna media digital di seluruh dunia.

 

Sila layari https://sync.ithra.com/ untuk mengetahui lebih lanjut. – DagangNews.com