KUALA LUMPUR 12 Okt. - Baru sebentar tadi Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur bermula 14 hingga 27 Oktober 2020.
PKPB adalah berbeza dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan PKPD Bersasar (PKPDB). PKPB hanya mengawal pergerakan berkaitan majlis sosial dengan sektor ekonomi dibenarkan beroperasi mengikut keperluan.
Mungkin ramai sudah lupa apa yang boleh atau tidak dibenarkan ketika tempoh berkenaan. Ini enam perkara yang perlu anda patuh ketika PKPB:
1) Pergerakan keluar masuk atau merentas daerah adalah tidak dibenarkan. Bagaimanapun bagi pekerja yang perlu merentas daerah, mereka perlu menunjukkan pas kerja atau surat kebenaran daripada majikan.
2) Hanya dua orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan keluar untuk membeli barangan keperluan.
3) Semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz, taman-taman awam dan pusat rekreasi adalah ditutup.
4) Masjid dan surau serta rumah ibadat bukan Islam adalah ditutup..
5) Semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya termasuk majlis perkahwinan dan pertunangan adalah tidak dibenarkan.
6) Pusat-pusat hiburan dan kelab malam juga tidak dibenarkan. Walaubagaimanapun, semua kegiatan ekonomi, industri dan perkilangan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya masih dibenarkan beroperasi seperti biasa.
Senarai prosedur operasi standard (SOP) lanjut dan lebih terperinci akan diumumkan oleh MKN dalam masa terdekat. - DagangNews.com