66% rakyat Malaysia tidak setuju SST dinaikkan, bimbang kewangan peribadi terjejas – tinjauan UCSI | DagangNews Skip to main content

66% rakyat Malaysia tidak setuju SST dinaikkan, bimbang kewangan peribadi terjejas – tinjauan UCSI

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 15 Feb - Sebanyak 66% rakyat Malaysia tidak bersetuju cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dinaikkan kepada 8% kerana mereka bimbang ia akan menjejas kewangan peribadi mereka, menurut Pusat Penyelidikan Tinjauan UCSI.

 

Tinjauan UCSI berhubung isu kenaikan cukai tersebut melibatkan 1,007 responden, yang mana hanya 13% menyokong kenaikan cukai SST, manakala 21% neutral terhadap perkara itu.

 

Berdasarkan keputusan tinjaun, 71% bersetuju bahawa kerajaan memberikan sebab yang sesuai untuk kenaikan cukai, 24% tidak bersetuju dengan kenaikan ini dan 5% tidak pasti.

 

Walaupun 71% responden dapat menerima alasan kerajaan menaikkan cukai, UCSI berkata hasil tinjauan itu mendapati bahawa segelintir daripada mereka menyuarakan keraguan dan rasa tidak senang terhadap kenaikan itu. 

 

“Kebanyakan responden menunjukkan kebimbangan tentang kemungkinan bahaya kepada kewangan peribadi mereka dengan menjangkakan lebih banyak kesan negatif berbanding kesan positif,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

UCSI berkata, 55% responden memberikan respon negatif terhadap kenaikan cukai SST, 24% berpendapat ia tidak memberi sebarang kesan, 16% positif terhadap isu tersebut dan 5% tidak pasti mengenai kesan SST terhadap kewangan peribadi mereka.

 

 

Mengenai sama ada kadar SST semasa adalah wajar berdasarkan keadaan ekonomi semasa di Malaysia, 27% bersetuju, 44% tidak bersetuju, dan 29% adalah neutral.

 

“Kesimpulannya, penggubal undang-undang harus memainkan peranan untuk meredakan kebimbangan orang ramai dan menjamin akauntabiliti dan keterbukaan dalam penggubalan dasar cukai,” kata UCSI.

 

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada Oktober tahun lalu, Perdana Menteri yang juga merangkap Menteri Kewagan, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan cadangan kenaikan cukai perkhidmatan itu kepada 8% daripada 6%. 

 

Beliau berkata, kerajaan akan turut meluaskan skop perkhidmatan bercukai meliputi perkhidmatan logistik, pembrokeran, penajajaminan dan karaoke.

 

Bagamanapun, kenaikan cukai itu tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi.

 

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) juga telah mengumumkan kenaikan SST bermula 1 Mac 2024 dan telah menerbitkan draf panduan peralihan perubahan kadar cukai perkhidmatan pada 7 Februari 2024.  - DagangNews.com