OSK Holdings diunjur catat peningkatan pendapatan pada FY24 didorong perkembangan positif segmen pembangunan hartanah, pinjaman - HLIB | DagangNews Skip to main content

OSK Holdings diunjur catat peningkatan pendapatan pada FY24 didorong perkembangan positif segmen pembangunan hartanah, pinjaman - HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Mei - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengunjurkan OSK Holdings Bhd mencatatkan peningkatan pendapatan ketara bagi FY24 didorong perkembangan positif dalam segmen pembangunan hartanah dan pinjaman.

 

Katanya, bagi segmen pembangunan hartanah, pendapatan lebih kukuh dijangka hadir daripada peningkatan kemajuan projek dan pengiktirafan penjimatan kos daripada penyiapan projek termasuk You City.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bagi segmen pinjaman, kumpulan itu diramal mencatatkan pertambahan pinjaman yang besar didorong oleh penjawat awam dan pasaran Australia selain margin faedah bersih lebih tinggi serta skala ekonomi lebih baik.

 

"Segmen kabel seharusnya menyaksikan pertumbuhan permintaan yang stabil manakala sistem bangunan perindustrian (IBS) akan menyaksikan pertumbuhan kukuh memandangkan permintaan hartanah yang semakin pulih dan penggunaan IBS yang semakin meningkat dalam kalangan kontraktor.

 

"Selain itu, segmen tenaga boleh diperbaharui (RE) yang sedang berkembang  dan sektor hartanah yang semakin pulih juga sepatutnya menyaksikan permintaan modal yang lebih tinggi. 

 

"Kadar faedah yang stabil dan lebih rendah di Malaysia sepatutnya menjadi petanda baik untuk aktiviti pelaburan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, industri kabel dijangka mencatatkan pertumbuhan kukuh didorong oleh sektor pusat data (DC) yang berkembang pesat dan matlamat peralihan tenaga Malaysia.

 

Katanya, bagi pusat data, permintaan akan datang daripada penggunaan kabel di pusat data itu sendiri.

 

HLIB berkata, Tenaga Nasional Berhad(TNB) mengunjurkan permintaan tenaga pusat data meningkat hampir lapan kali ganda daripada 635MW pada akhir 2023 kepada >5GW menjelang 2035 (18.5% daripada kapasiti terpasang Semenanjung Malaysia).

 

"Segmen kabel OSK sedang berkembang dan menjangkakan untuk menambah antara 20% hingga 25% daripada kapasiti emasa menjelang akhir FY24," katanya.


Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM2.16 sesaham.- DagangNews.com