KUALA LUMPUR 5 Okt. - Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengumumkan akan meneruskan diskaun bil elektrik sehingga 50 peratus yang akan memberi manfaat kepada lebih 7 juta pengguna di Semenanjung Malaysia sehingga akhir tahun ini.
Dalam kenyataannya, TNB berkata, syarikat utiliti itu menyokong usaha kerajaan mengurangkan impak pandemik Covid-19 kepada rakyat dan langkah yang diambil kerajaan bagi membantu rakyat menyesuaikan diri dengan pemulihan semula ekonomi negara ketika ini.
Ketua Pegawai Peruncitan TNB, Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, sebagai lanjutan kepada Diskaun Rangsangan Ekonomi untuk bil elektrik yang diberikan bermula Mac lalu di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), lebih 7 juta pengguna kediaman (Tarif A – Domestik) di Semenanjung Malaysia akan terus menikmati diskaun bil elektrik sehingga 50 peratus berdasarkan penggunaan elektrik bulanan dari 1 Oktober 2020 hingga 31 Disember 2020.
“Inisiatif pelanjutan diskaun oleh kerajaan ini mengutamakan mereka yang memerlukan akibat pandemik Covid-19,” kata beliau.
TNB juga turut meneruskan tiga inisiatif berikut untuk manfaat pengguna kediaman sehingga akhir tahun ini:
- Pelan Bayaran Mudah (pilihan untuk pengguna membayar bil secara ansuran tanpa surcaj tambahan);
- pengecualian surcaj lewat bayar (bagi tempoh 18 Mac 2020 hingga 31 Disember 2020); dan
- penangguhan aktiviti pemotongan bekalan, kecuali:
- permohonan daripada pengguna berdaftar; dan
- arahan daripada pihak berkuasa.
“Tanggungjawab membendung penularan wabak Covid-19 adalah usaha kita bersama. Kita seharusnya mengambil berat dan prihatin antara satu sama lain dalam waktu sukar ini,” kata Ir. Megat Jalaluddin lagi. - DagangNews.com