Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 17 Dis. - Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyenaraikan tujuh manfaat yang bakal diterima negara menerusi penyertaan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
Timbalan Menterinya, Senator Datuk Lim Ban Hong berkata, ini termasuk pengukuhan integrasi ekonomi dan meningkatkan pemudahan di antara negara-negara ASEAN dengan rakan-rakan dialog ASEAN iaitu China, Jepun, Korea Selatan, Australia dan New Zealand.
“Ini kerana negara-negara dalam RCEP masing-masing mempunyai kelebihan sendiri sama ada dari segi bahan mentah, kepakaran dan teknologi, sumber manusia yang mahir dan berkualiti mahu pun pasaran yang besar,” katanya di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Husain Awang yang meminta MITI untuk menyatakan manfaat besar penyertaan Malaysia dalam RCEP ke atas sosio ekonomi negara pada masa akan datang.
Tambah Ban Hong, menerusi perjanjian itu, ia akan membuka akses pasaran yang lebih luas melalui penghapusan dan pengurangan tarif dan bukan tarif, piawaian dan peraturan teknikal yang standard serta kerjasama ekonomi.
Manfaat kedua itu akan memudah cara perdagangan rentas sempadan untuk produk keluaran tempatan, katanya.
Jelasnya lagi, perjanjian RCEP juga akan mengukuhkan aktiviti rantaian nilai serantau melalui rules of origin (peraturan tempasal) yang lebih mudah digunakan.
“Ini akan mengukuhkan integrasi syarikat-syarikat tempatan dalam rantaian nilai dan bekalan global untuk lebih berdaya saing di persada antarabangsa dan seterusnya menjadi syarikat bertaraf global.
“ (Keempat) RCEP akan memudahkan para peniaga Malaysia untuk memperoleh sumber bahan mentah yang akan digunakan dalam proses pembuatan melalui pelbagai sumber sedia ada di dalam negara-negara RCEP.
“(Kelima) Bagi penyedia perkhidmatan tempatan termasuk e-dagang akan dapat menikmati akses pasaran yang lebih besar,” ujar Ban Hong.
Keenam, syarikat-syarikat yang ingin menembusi pasaran RCEP dan menikmati keistimewaan tarif yang disediakan akan memilih untuk melabur di rantau RCEP.
Katanya, ini akan meningkatkan pelaburan langsung asing dan tempatan memandangkan Malaysia ialah destinasi pelaburan terpilih di rantau ini.
“(Ketujuh) Penyertaan RCEP juga dijangka dapat menyegerakan proses pemulihan ekonomi serantau dan negara kita selepas COVID-19 menerusi pembukaan pasaran dan peningkatan pemudahan perdagangan antara negara-negara anggota RCEP,” katanya. - DagangNews.com