70 alumni UiTM meriahkan aktiviti berjalan kaki di sekitar Jalan Othman | DagangNews Skip to main content

70 alumni UiTM meriahkan aktiviti berjalan kaki di sekitar Jalan Othman

Naib Canselor UiTM bersama alumni UiTM yang hadir memeriahkan acara ITM Jalan Othman (JO) Heritage Walk.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 9 Okt - Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mengukir sejarah dengan menganjurkan aktiviti berjalan kaki,  ITM Jalan Othman (JO) Heritage Walk, sebagai sebahagian daripada sambutan Hari Alumni UiTM yang bakal disambut pada 19 Disember ini.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, universiti yang ditubuhkan dengan entiti pertamanya, Dewan Latihan RIDA di Jalan Othman, Petaling Jaya itu mengadakan aktiviti tersebut bagi mengimbau nostalgia dengan 70 alumni termasuk bekas pelajar, pensyarah dan staf di ITM Jalan Othman.

 

“Program ini bertujuan memberi peluang kepada bekas warga kampus tersebut menelusuri kawasan sekitar yang terdiri daripada bangunan-bangunan serta mercu tanda ikonik yang masih kekal strukturnya dan mempunyai nilai sejarah yang menarik,” katanya.

 

Aktiviti ini membawa peserta berjalan kaki sejauh kira-kira 2 kilometer, termasuk laluan ke arah Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz berdekatan Petaling Jaya dan Taman Selera Jalan Othman.

 

Program ini telah dirasmikan oleh Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor, yang turut disertai oleh mantan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UiTM, Prof Dr Zaini Abdullah dan Kasmuri Sukardi, alumni UiTM yang merupakan Pengarah KaZ Corporation Sdn Bhd serta Dr Junid Abu Saham, bekas pensyarah yang paling lama berkhidmat di kampus Jalan Othman.

 

 

Pelepasan acara “ITM Jalan Othman (JO) Heritage Walk” oleh Naib Canselor UiTM yang diadakan pada 8 Oktober 2023 di UiTM kampus Jalan Othman.
Pelepasan acara ITM Jalan Othman (JO) Heritage Walk oleh Naib Canselor UiTM yang diadakan pada 8 Oktober 2023 di UiTM kampus Jalan Othman.

 

 

Keterlibatan alumni UiTM dalam program ini turut dimeriahkan oleh enam alumni yang telah menamatkan pengajian di konvokesyen pertama Dewan Latehan RIDA pada 19 Disember 1964, yang diketuai oleh Datuk Sri Mohamed Abid yang kini berusia 81 tahun.

 

Tarikh konvokesyen pertama ini telah menjadi tarikh keramat Hari Alumni UiTM, yang telah diisytiharkan pada 19 Disember 2022.

 

Selain Heritage Walk, sambutan Hari Alumni UiTM turut menganjurkan UiTM Alumni Fun Run yang akan diadakan serentak di UiTM Shah Alam dan 12 kampus seluruh negara pada 28 Oktober.

 

Selain itu, acara Alumni Homecoming 2023 pada 16 Disember akan meraikan alumni yang telah banyak menyumbang kepada universiti, komuniti dan negara.

 

Alumni ITM/ UiTM digalakkan mendaftar di platform digital MyAlumni UiTM virtual card, bagi memastikan hubungan keluarga besar UiTM kekal akrab dan berterusan antara alumni dan universiti ini.  - DagangNews.com