Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
[email protected]
KUALA LUMPUR 7 Jan - Sebanyak 800 golongan orang kurang upaya (OKU) dan murid sekolah telah mendaftar kemudahan pas perjalanan bulanan tanpa had MyRail5 sejak dilancarkan awal tahun lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd. Rani Hisham Samsuddin berkata, golongan OKU dewasa merupakan pengguna tertinggi menerima manfaat itu, diikuti pelajar sekolah menengah.
Jelasnya, laluan yang paling tinggi merupakan laluan komuter Lembah Klang.
"KTMB menjangkakan penambahan permintaan memandangkan sesi persekolahan yang telah dibuka semula, kebenaran kapasiti penuh bagi pengangkutan awam dan pembukaan penuh aktiviti ekonomi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Rani, KTMB menyambut baik keputusan kerajaan meneruskan inisiatif MyRail5 yang diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada pembentangan Bajet 2022, Oktober tahun lepas.
"Peruntukan sebanyak RM3.6 juta ini dapat membantu mengurangkan beban perbelanjaan pengangkutan bagi pelajar sekolah tahun satu hingga tingkatan enam dan OKU dengan menawarkan pas perjalanan bulanan tanpa had selama 30 hari dengan hanya serendah RM5.
"Subsidi ini dikhaskan bagi perkhidmatan KTM Komuter sektor Lembah Klang, KTM Komuter sektor Utara dan Shuttle Timuran (Kuala Lipis–Tumpat)," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, perkhidmatan tren Diesel Multiple Unit (DMU) baharu dan beroperasi di antara laluan Kuala Lipis-Tumpat memberikan keselesaan kepada lebih 1,500 penumpang sehari dengan mengekalkan tambang sedia ada.
"Demi memacu perkembangan ekonomi setempat, KTMB akan memastikan peruntukan yang diberikan akan digunakan dan dilaksanakan dengan telus serta membantu pertumbuhan sosio ekonomi negara terutama bagi golongan yang memerlukan.
Tambah beliau, KTMB terus optimis dalam menggerakkan usaha-usaha kerajaan bagi memangkin pembaharuan yang direncanakan demi membantu seluruh Keluarga Malaysia.
"Kami akan terus berdaya saing dalam memastikan perkhidmatan tren kekal menjadi pilihan utama rakyat Malaysia," katanya. - DagangNews.com