9 aduan majikan tidak benarkan kerja dari rumah - KSM | DagangNews Skip to main content

9 aduan majikan tidak benarkan kerja dari rumah - KSM

M. Saravanan. - Gambar Malay Mail/Yusof Mat Isa

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Mei - Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerima sembilan aduan berhubung majikan tidak membenarkan pekerja untuk bekerja dari rumah (BDR) setakat 9 pagi hari ini. 

 

Aduan-aduan itu diterima sehari selepas KSM menambahbaik aplikasi Working for Workers (WFW) yang dilancarkan pada 3 Mei 2021 dengan memperkenalkan satu kategori aduan baharu iaitu 'Majikan tidak benarkan BDR' bermula semalam.

 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, KSM menerusi jabatan-jabatan berkaitan di bawahnya akan menjalankan siasatan mengikut akta-akta yang berkaitan di bawah kementerian.

 

“Maklumat siasatan ini akan dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) atau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekiranya terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) atau Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

 

“Langkah untuk mewujudkan kategori baharu ini di dalam talian adalah inisiatif KSM untuk mengurangkan pergerakan dan kehadiran secara fizikal pekerja yang ingin membuat aduan di mana-mana Pejabat Tenaga Kerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Tambah Saravanan, kategori itu diwujudkan selepas mengambil kira pengumuman kerajaan yang menetapkan 40% pekerja sektor swasta dikehendaki bekerja dari rumah berkuatkuasa esok bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19. 

 

Oleh itu, ujarnya, mana-mana pekerja yang dipaksa oleh majikan untuk hadir ke pejabat dan bercanggah dengan sekatan tambahan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), diminta membuat aduan melalui aplikasi WFW.

 

Sehingga kini, terdapat 17 kategori aduan dalam aplikasi WFW yang menyentuh isu-isu buruh yang dihadapi oleh golongan pekerja.

 

Aplikasi WFW merupakan platform untuk golongan pekerja menyuarakan aduan serta masalah berhubung isu-isu perburuhan. 

 

Setakat 23 Mei 2021, aplikasi itu telah merekodkan sebanyak 178 aduan dan daripada jumlah tersebut, 105 aduan diperoleh daripada rakyat tempatan, manakala selebihnya pekerja asing, kata Saravanan lagi. 

 

Negeri yang merekodkan jumlah aduan tertinggi adalah Kuala Lumpur (75 kes), diikuti Selangor (44 kes), dan Johor (21 kes). 

 

“Antara isu aduan yang kerap diterima adalah berhubung kelewatan pembayaran gaji, tiada pembayaran gaji, pemberhentian kerja tanpa notis, isu ketiadaan kontrak kerja dan lain-lain isu. 

 

“KSM sentiasa komited untuk mengambil tindakan terhadap aduan dan maklum balas yang telah dikemukakan oleh pihak pekerja. 

 

“KSM juga menyeru agar warga pekerja dapat menggunakan aplikasi WFW bagi memastikan hak dan kebajikan mereka di negara ini terus terpelihara,” tambah beliau. - DagangNews.com